Bahas veteran UMNO, Datuk Mufti Shuib pada Perhimpunan Agong UMNO baru-baru ini amat berbeza dengan ucapan sejumlah perwakilan lain kerana ia terlalu menarik untuk diendahkan walau oleh sesiapa jua.
Ia sarat dengan pelbagai peringatan namun saya amat tertarik dengan ungkapan beliau:
‘‘Perjuangan ini kita tidak warisi, kita tidak terima daripada orang dahulu, perjuangan ini kita pinjam daripada anak cucu kita.’’
Walaupun hanya Datuk Mufti sendiri yang mengetahui maksud sebenar kata-kata beliau, saya tidak dapat mengelak daripada memikirkan betapa UMNO, lebih-lebih lagi pada masa kini apabila generasi baru telah menggantikan generasi perintis, perlu berusaha keras untuk mengelak daripada menjurus ke arah organisasi hirarki berdasarkan kelas sosial.
UMNO wajar sentiasa dipimpin oleh pejuang tulen yang lebih memahami intipati dan semangat perjuangan masyarakat Melayu agar kekal relevan.
Para pejuang ini mungkin tidak dilahirkan dalam keluarga pemerintah atau belajar di institusi pendidikan yang gah, namun mereka juga terdiri daripada doktor dan jurutera yang telah membuktikan kebolehan bukan sahaja ketika belajar, malah dalam alam pekerjaan.
Sejarah telah berulang kali membuktikan bahawa pemimpin sebeginilah yang tidak akan berhenti selagi nyawa masih ada dan matlamat tidak dicapai, yang akan berjaya mengangkat perjuangan mereka.
Datuk Mufti telah memberikan contoh terbaik apabila menyatakan:
‘‘Orang Melayu yang bangun itu hanyalah Melayu mentaliti kelas tiga, sekolah Melayu darjah enam, paling tinggi Senior Cambridge. Melayu kelas tiga berkumpul, berhimpun berdemonstrasi menentang Inggeris, bukan macam Melayu kelas satu tuan-tuan sekarang ini, tetapi Melayu kelas tiga dengan mentaliti kelas satu yang dapat menghancurkan hasrat Inggeris untuk menubuhkan Malayan Union.’’
Tambah beliau, masyarakat yang terdiri daripada tukang kebun, penjual capal, penjual nasi lemak dan pemandu adalah ‘asas orang Melayu’.
Pengalaman berhadapan dengan susah payah ini sebenarnya merupakan latihan terbaik untuk bakal pemimpin. Ia tidak diajar di universiti dan tidak akan mampu disimulasi menerusi senario palsu.
Rasulullah SAW sendiri pernah menjalankan kerja bukan sahaja sebagai peniaga, malah sebagai penggembala sebelum diangkat menjadi Rasul.
Sabda Baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a.:
“Tidak seorang pun daripada nabi-nabi yang diutus Allah itu yang tidak pernah menjadi gembala kambing.”
Kerja-kerja ini tidak lain merupakan proses tarbiah untuk memupuk sifat-sifat yang wajib ada pada seorang pemimpin. Ia mendedahkan Baginda kepada interaksi dengan segenap lapisan masyarakat, daripada yang kaya sehinggalah yang termiskin.
Selain memupuk kesabaran, ramai yang sering terlepas pandang peranan berniaga dan menggembala sebagai kaedah penuh hikmah untuk menanamkan sikap rendah diri di samping menghindarkan sifat takbur, riak, ujub; penyakit hati majoriti pemimpin apabila segala pendapat diangguk dan segala kata diiakan.
Sedangkan insan junjungan teragung seperti Rasulullah SAW yang juga berasal daripada keturunan disegani, Bani Hashim perlu menjalani tarbiah sebelum menjadi pemimpin, manakan kita lebih istimewa untuk dikecualikan.
Ahli teori pengurusan dan kepimpinan, Warren G. Bennis turut mengakui ciri-ciri pemimpin terbaik sambil memberi amaran:
“Mitos kepimpinan yang paling bahaya ialah para pemimpin adalah dilahirkan – bahawa terdapat faktor genetik untuk kepimpinan. Mitos ini menegaskan bahawa seseorang dengan mudah memiliki kualiti karismatik atau tidak. Itu adalah karut; hakikatnya, perkara sebaliknya yang benar. Pemimpin adalah dibentuk dan bukan dilahirkan.”
Saya pasti ramai yang tidak sanggup malah tidak mampu melihat sokongan terhadap UMNO bakal menerima akibat pengabaian ‘asas orang Melayu’.
Bak kata Datuk Mufti:
“Kelas tiga ke, kelas satu ke, kita naik satu kapal terbang. Duduk di depan ke, duduk di belakang ke, kalau jatuh, jatuh bersama, kalau naik, naik bersama.”