Analisis: Arahan Meletak Jawatan MB Menurut Undang-undang

1. Mengapa Nizar Jamaluddin Perlu Meletakkan Jawatan Sebagai MB Perak?

Kerana perintah meletakkan jawatan telah dititahkan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah pada 5 Februari 2009:

YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah dititah menghadap Baginda untuk dimaklumkan mengenai keputusan Baginda tidak membubarkan Dewan dan selaras dengan peruntukan XVI(6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan, DYMM Paduka Seri Sultan Perak menitahkan YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama-sama ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) berkuat kuasa serta merta. Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.1


2. Mengapa Perintah Meletakkan Jawatan MB Ini Dikeluarkan?

Perintah ini telah dikeluarkan Pejabat DYMM Paduka Sultan Perak, Sultan Azlan Shah yang ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Baginda, YDH Toh Raja Diraja Kol. Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, kerana Nizar Jamaluddin telah didapati hilang sokongan majoriti ADUN Perak:

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib memaklumkan bahawa Barisan Nasional dan penyokong-penyokongnya kini yang terdiri daripada 31 orang ahli Dewan Negeri telah menguasai majoriti di kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.

Atas titah Duli Yang Maha Mulia untuk memaklumkan Baginda bahawa maklumat yang dipersembahkan itu adalah tepat, kesemua 31 orang ahli Dewan Negeri tersebut telah dititah menghadap Paduka Seri Sultan.

Setelah menemui sendiri kesemua 31 ahli-ahli Dewan tersebut, DYMM Paduka Seri Sultan Perak telah yakin bahawa YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar (ceases to command the confidence of the majority) dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.1

Merujuk kes Datuk Amir Kahar Tun Mustapha v Tun Mohamed Said Keruak [1994] 3 MLJ 737:

…once a Chief Minister in fact knows that he has lost the confidence of a majority of the members of the Assembly, he should not wait for a vote of confidence to be formally tabled in the Assembly but should immediately take the honourable way out by tendering the resignation of his Cabinet. Under the circumstances, if the Chief Minister refuses or does not tender the resignation of the members of the Cabinet which includes himself, or if he tenders the resignation of himself alone, the fact remains that the Cabinet is dissolved on account of him losing the confidence of a majority of the members of the Assembly and it is not necessary, therefore, for the Yang di-Pertua Negeri as a last resort to remove the Chief Minister and the other members of his Cabinet. This is not only the effect of Art. 7(1) of the Constitution but it is the established convention.


3. Mengapa Nizar Jamaluddin Tidak Mahu Meletakkan Jawatan?

Berikut adalah sebab-sebab yang diberikan oleh Nizar untuk tidak meletakkan jawatan:

Berhubung kecelaruan isu ‘letak jawatan’ atau ‘lucut jawatan’ saya sebagai Menteri Besar, suka saya jelaskan kepada seluruh rakyat negeri Perak bahawa Perkara 16(6) Undang-Undang Perlembagaan Negeri dengan terang menyatakan bahawa ‘lucut jawatan’ saya hanya boleh berlaku melalui 3 kaedah iaitu :

Pertama – pembubaran Dewan Undangan Negeri.

Kedua – undi tidak percaya dalam sidang khas Dewan Undangan Negeri.

Ketiga – saya meletak jawatan secara sukarela.2


4. Adakah Perletakan Jawatan MB Hanya Boleh Berlaku Melalui ‘3 Kaedah’ Yang Disebutkan Oleh Nizar?

Tidak.

Mengikut Artikel 16 (6) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan (juga digelar Perak Constitution/Perlembagaan Negeri Perak):

If the Mentri Besar ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly, then, unless at his request His Royal Highness dissolves the Legislative Assembly, he shall tender the resignation of the Executive Council.

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan menyatakan bahawa Menteri Besar hendaklah meletakkan jawatan apabila beliau berhenti mendapat kepercayaan majoriti ADUN (ceases to command the confidence of the majority of the members of the Legislative Assembly).

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan tidak menyebut perkara-perkara berikut:

a. Kepercayaan majoriti ADUN hanya boleh diketahui melalui sidang Dewan Negeri;

b. Dewan Negeri perlu dibubarkan terlebih dahulu sebelum MB boleh meletakkan jawatan.


5. Mengapakah Nizar Jamaluddin Mahu Mengadakan Sidang Dewan Negeri?

Nizar Jamaluddin bertegas mahu mengadakan sidang Dewan Negeri kerana:

a. Beliau pasti bahawa Yang DiPertua Dewan Negeri Perak (juga digelar Speaker), V. Sivakumar, yang juga merupakan ADUN Tronoh daripada parti DAP, akan menghalang 3 ADUN bebas yang menyokong BN daripada memasuki sidang. Ini kerana V. Sivakumar menganggap bahawa 3 ADUN bebas berkenaan telah meletakkan jawatan masing-masing sebagai ADUN;

b. Beliau mahukan sebarang ‘undi tidak percaya’ terhadap beliau yang bakal diusulkan oleh mana-mana ADUN BN, tidak akan dapat mencapai sebarang keputusan muktamad. Ini kerana, jumlah ADUN yang menganggotai BN dan PR adalah sama: masing-masing 28 orang. Tanpa penyertaan oleh 3 ADUN bebas ke dalam sidang Dewan Negeri, tiada keputusan muktamad dapat dicapai;

c. Beliau mengharapkan kebuntuan dalam mencapai keputusan muktamad akan mewujudkan situasi “hung parliament”, yang akan mengakibatkan tekanan sehingga akhirnya memaksa pilihanraya diadakan. Menurut Siddiq Azani dari Fakulti Undang-undang UiTM Malaysia:

“Hung parliament” bermaksud tiada majoriti jelas dalam sesebuah Dewan Rakyat atau DUN. Sebagai contoh, parti A mempunyai 89 kerusi dan parti B 88 kerusi, atau kedua-dua sama 89 kerusi, dalam situasi ini lebih elok diadakan pilihanraya semula kerana beza kerusi cukup tipis. Walaubagaimanapun tidak wujud situasi “hung parliament” di Perak ketika ini kerana BN memiliki majoriti 3 kerusi. Dan seperkara lagi yang harus diambil kira ialah jumlah kerusi yang terdapat di Perak ialah 59 kerusi. Perbezaan jelas dan tiada masalah kerana perbezaan ialah 3 kerusi daripada 59 kerusi merupakan suatu jumlah yang jelas.3


6. Mengapakah ‘Perletakan Jawatan’ 3 ADUN Bebas Yang Menyokong BN Ditolak?

‘Perletakan jawatan’ 3 ADUN bebas yang menyokong BN ditolak oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kerana sebab-sebab berikut:

a. Wujud keraguan terhadap surat perletakan jawatan;
Menurut Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf:

SPR telah meneliti secara mendalam dan rapi daripada pelbagai sudut perundangan dan dengan ini memaklumkan bahawa SPR mendapati wujud keraguan terhadap surat peletakan jawatan oleh penyandang kedua-dua kerusi berkenaan.4

b. Surat perletakan jawatan telah disahkan tidak berkuatkuasa oleh ADUN sendiri;
Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusuf menyatakan bahawa:

Ia juga memandangkan kedua-dua ADUN itu secara sedar telah mengesahkan bahawa surat-surat berkenaan tidak berkuat kuasa.4

Surat-surat perletakan jawatan yang dihantar kepada Yang DiPertua Dewan Negeri Perak, V. Sivakumar, juga sebenarnya tidak dihantar oleh ketiga-tiga ADUN bebas tersebut.

V. Sivakumar, dalam satu kenyataan yang difakskan kepada media, mendakwa ADUN Behrang Jamaluddin Mat Radzi dan ADUN Changkat Jering Mohd Osman Jailu menyerahkan surat peletakan jawatan mereka ke rumah beliau pada jam 5.45 petang, 1 Februari 2009.5

Perkara ini telah dinafikan oleh kedua-dua ADUN berkenaan dan laporan polis telah dibuat. Sehingga kini, pihak yang menghantar surat-surat perletakan jawatan berkenaan masih belum dikenalpasti.

Surat-surat perletakan jawatan berkenaan merupakan surat-surat tidak bertarikh yang ditandatangani selepas PRU ke-12, 8 Mac 2008.6


7. Adakah Arahan Meletak Jawatan MB Perak Sah Di Sisi Perlembagaan Persekutuan?

Ya.

Menurut Siddiq Azani:

Perlembagaan Persekutuan dalam artikel 43(2)(a) jelas menyatakan bahawa Yang Dipertuan Agong berhak melantik ketua eksekutif yang telah mendapat sokongan majoriti Dewan Rakyat. Benar dakwaan Nizar mengatakan bahawa Sultan bertindak atas nasihat beliau sebagai ketua kerajaan. Ini termaktub di dalam artikel 40(1) dan 40(1A) yang terdapat didalam perlembagaan. Namun Nizar harus membaca Artikel 40(2)(a), (b), dan (c) bersama. Ini kerana ia jelas menyatakan hak esklusif Sultan yang boleh bertindak sendirian tanpa mengikuti nasihat beliau di dalam perkara membabitkan perlantikan ketua kerajaan (selagi beliau mematuhi provisio dalam 43(2)(a)), kedua baginda mempunyai kuasa untuk TIDAK MEMBUBARKAN DEWAN PERWAKILAN (Parliament atau DUN Negeri), dan terakhir memanggil semua Raja-raja untuk mesyuarat Majlis Raja-raja.

Berikut merupakan provisio yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan tetapi berdasarkan Akta Interpretasi, ia diaplikasi kepada semua perlembagaan negeri kerana perlembagaan negeri mesti sama dengan perlembagaan persekutuan. Berbalik kepada perlembagaan di Perak, Artikel 16 Fasal 7 Perlembagaan Negeri Perak menyebut seseorang anggota majlis selain MB (Menteri Besar) memegang jawatan atas perkenan Sultan. Dengan lain perkataan, MB tidak boleh dipecat. Klausa ini telah disalah tafsir oleh pemimpin dan penyokong Pakatan pembangkang. Benar seorang Menteri Besar tidak boleh dipecat oleh Sultan jika Menteri Besar itu masih mempunyai sokongan majoriti Dewan perwakilan. Tetapi jika keadaan sebaliknya, Sultan mempunyai hak untuk memecat MB.3

Berikut ialah Perlembagaan Persekutuan, Perkara 40, Fasal (2)(a), (b) dan (c):

(2) Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang berikut, iaitu:

(a) melantik seorang Perdana Menteri;

(b) tidak memperkenankan permintaan bagi pembubaran Parlimen;

(c) meminta diadakan mesyuarat Majlis Raja-Raja yang semata-mata berkenaan dengan keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dan apa-apa tindakan pada mesyuarat itu, dan dalam apa-apa hal lain yang disebut dalam Perlembagaan ini.


8. Sekiranya MB Enggan Meletak Jawatan, Bolehkah Sultan Memecat Beliau?

Boleh.

Menurut Akta Interpretasi:

ELEVENTH SCHEDULE PROVISIONS OF THE INTERPRETATION AND GENERAL CLAUSES ORDINANCE, 1948 (MALAYAN UNION ORDINANCE NO. 7 OF 1948), APPLIED FOR INTERPRETATION OF THE CONSTITUTION

29. Power to appoint includes power to dismiss – Where a written law confers upon any person or authority a power to make appointments to any office or place, the power shall, unless the contrary intention appears, be construed as including a power to dismiss or suspend any person appointed and to appoint another person temporarily in the place of any person so suspended or in place of any sick or absent holder of such office or place:


9. Adakah Sultan Telah Memecat Nizar Jamaluddin Selaku MB Perak?

Walaupun istilah keras seperti ‘dipecat’ atau ‘dilucut’ tidak digunakan, Sultan telah menitahkan agar Nizar Jamaluddin meletakkan jawatan, dan sekiranya beliau tidak meletakkan jawatan, jawatan itu akan dianggap telah dikosongkan:

Sekiranya YAB Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin tidak meletak jawatan sebagai Menteri Besar Perak bersama ahli-ahli MMK, maka jawatan Menteri Besar serta ahli-ahli MMK tersebut dianggap telah dikosongkan.1


10. Adakah Penentuan Samada Seseorang ‘Mendapat Kepercayaan Majoriti Ahli Dewan’ Hanya Boleh Dibuat Melalui ‘Undi Tidak Percaya’?

Tidak.

Situasi berikut dinyatakan dalam undang-undang Malaysia:

a. Perlembagaan Persekutuan – “tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan”;

b. Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perak Darul Ridzuan – “ceases to command the confidence of the majority “.

Walau bagaimanapun, kaedah menentukan situasi tersebut wujud tidak disebutkan.

Ini disokong oleh Profesor dan Penasihat Undang-undang UiTM, Dr. Shad Saleem Faruqi, ketika menerangkan isu Anwar Ibrahim mahu membentang ‘undi tidak percaya’ terhadap PM pada April tahun lepas:

Faruqi, however, felt that Article 43(4) of the Federal Constitution allowed for a vote of no-confidence against the prime minister and the government.

He said there was, however, no specific procedure for such a move and that it could come in the form of a motion tabled by a member of parliament.7

DYMM Paduka Seri Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, telah bertitah mengarahkan kesemua 31 orang ADUN Perak yang menyokong BN untuk menghadap baginda bagi mengetahui pendirian mereka masing-masing.

Tindakan ini:

a. Tidak menyalahi mana-mana undang-undang;

b. Tiada undang-undang yang menyatakan bahawa ia tidak boleh dianggap sebagai suatu kaedah yang sah untuk menentukan bahawa Nizar telah berhenti daripada mendapat kepercayaan sebahagian besar dari kalangan ahli-ahli Dewan Negeri.


The nation expects that a Minister who cannot retain the confidence of the House of Commons, shall give up his place, and no Premier even dreams of dissapointing these expectations.

– AV Dicey, The Law of the Constitution


1. “Kenyataan Media Pejabat DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan,” Bernama.com, 5 Februari, 2009, http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=387868

2. “Perutusan MB Perak, YAB Dato’ Seri Ir. Mohamad Nizar Jamaluddin,” Malaysiakini, 8 Februari, 2009, http://mt.m2day.org/2008/content/view/17810/84/

3. “Krisis di Perak: Penjelasan Dari Sudut Undang-undang (Penyokong Pakatan Harap Baca),” 7 Februari, 2009, http://writtenbyhim.wordpress.com/2009/02/07/krisis-di-perak-penjelasan-dari-sudut-undang-undang-penyokong-pakatan-harap-baca/

4. “DUN Changkat Jering Dan Behrang Tidak Kosong – SPR,” Bernama.com, 3 Februari, 2009, http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=387298

5. “Dua Adun Perak Daripada PKR Letak Jawatan,” Bernama.com, 1 Februari, 2009, http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsindex.php?id=387048

6. “Teka-Teki Masih Mewarnai Kemelut Politik Negeri Perak,” Bernama.com, 2 Februari, 2009, http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newspolitic.php?id=387186

7. “Two views on moving a no-confidence vote,” The New Straits Times Online, 26 April, 2008, http://www.malaysianbar.org.my/legal/general_news/two_views_on_moving_a_no_confidence_vote.html

Tinggalkan komen