oleh RXI
Begitu ramai pihak yang tampil mengecam tingkahlaku pasangan Cina biadab yang mengaitkan ibadah puasa dan logo halal JAKIM dengan makanan berasaskan babi. Aneh bukan? Jikalau orang Melayu yang mempersenda agama lain, sudah tentu bangsa si pelaku – Melayu – akan turut dipersalahkan. Berduyun-duyun golongan Melayu apologis akan ‘terlebih sudu dari kuah’ dan meminta ampun ‘bagi pihak kaum Melayu’, sambil menambah ungkapan “I’m ashamed of being Malay” (“Saya malu menjadi Melayu”).
Inilah perbezaan ketara antara kaum Melayu dengan kaum lain: kekurangan jatidiri. Walhal ramai yang sengaja lupa bahawa di dalam surah al-Hujurat yang banyak menjelaskan adab hubungan antara kaum, sikap mencemuh diri sendiri juga adalah dilarang di dalam ayat ke-11:
“Janganlah sesuatu puak merendah-rendahkan puak yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula kaum wanita ke atas kaum wanita yang lain, mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah kamu mencela dirimu sendiri.“
Di bulan Ramadan ini juga boleh dilihat bagaimana begitu ramai Melayu yang meninggalkan identiti Melayu dan berlumba-lumba untuk menjadi Arab. Baju Melayu tidak lagi dipakai dan digantikan dengan pakaian Arab yang sekadar sunnah adat atau sunnah jibiliyyah, malah istilah ‘iftar’ digunapakai untuk menggantikan frasa ‘buka puasa’, seolah-olah istilah Arab tersebut memiliki kelebihan daripada segi pahala. Imam-imam dari Arab Saudi, Palestin, Yaman dan negara-negara Arab lain telah diimport untuk mengimamkan solat tarawih, sedangkan ada beribu-ribu imam hafiz berbangsa Melayu di sini.
Apa lebihnya imam Arab?
Sebenarnya, tiada satu bangsapun dalam dunia yang tidak memiliki kelemahan. Bangsa Arab sendiri terkenal dengan kelakuan jahiliyah seperti menanam anak kandung sendiri hidup-hidup. Sifat mereka terlalu melampau dan barbarik sehinggakan ramai di kalangan Bani Israil tidak tergamak mengakui bahawa Nabi Muhammad SAW, seorang berbangsa Arab, ialah nabi yang terakhir. Waraqah bin Naufal, paderi Kristian yang mengakui tanda-tanda kenabian pada Nabi Muhammad SAW juga tidak memeluk Islam. Jadi adalah satu mukjizat apabila Rasulullah SAW berjaya menyatukan puak-puak Arab yang kasar dan menjadikan mereka menerima prinsip-prinsip Islam yang halus.
Walau bagaimanapun, sebaik kewafatan Rasulullah SAW, bangsa Arab kembali bergolak. Perang saudara berleluasa, malah sehingga kini bangsa Arab sering berperang antara satu sama lain. Bukti terkini ialah konflik Tentera-Ikhwan Muslimin di Mesir yang akhirnya mengakibatkan seorang Kristian dilantik sebagai Presiden.1 Bangsa Arab jugalah yang pernah bersekongkol dengan T. E. Lawrence dan British pada tahun 1916-1918 untuk menjatuhkan khilafah Islam terakhir, Khilafah Uthmaniyyah yang diterajui oleh bangsa Turki.2 Konflik bersenjata kini berlaku di negara-negara Arab seperti Syria, Iraq, Lubnan dan Yaman. Di Palestin, parti Hamas menguasai Semenanjung Gaza, Fatah menguasai Tebing Barat, manakala Israel terletak di tengah-tengah. Apa yang menakjubkan, parti Hamas dan Fatah berperang antara satu sama lain sehingga mengorbankan ratusan nyawa.3

Perwakilan Arab ke Paris Peace Conference 1919, di hadapan: Emir Faisal, di belakang dari kiri Rustum Haidar, Brigadier Jeneral Nuri as-Said, Kapten Pisani, T. E. Lawrence dan Kapten Hassan Khadri. Inilah pihak yang memerangi Khilafah Uthmaniyyah.
Sejak berpuluh tahun umat Islam di Malaysia menyumbangkan derma kepada Palestin, tidakkah kita sedar bahawa wang bukanlah jalan penyelesaian, terutamanya untuk masalah yang berpunca daripada sifat bangsa Arab itu sendiri?

Sejak dahulu wakil-wakil Arab dari Palestin akan datang ke Malaysia untuk memohon derma dengan menjaja cerita penderitaan akibat kekejaman Israel. Rakyat Malaysia perlu ingat bahawa mereka juga berbunuh-bunuhan sesama sendiri.
Bangsa Arab juga tidak sunyi daripada budaya hedonisme. Ketika artis di Malaysia yang berpakaian seksi akan mencetus kontroversi, di Mesir ia merupakan sesuatu yang biasa. Emiriyah Dubai akan bergolok gadai dan berhutang melalui penerbitan bon untuk membina bangunan-bangunan yang gah, dan apabila ia tidak mampu membayar bon tersebut, saingan terbesarnya Emiriyah Abu Dhabi akan menghulurkan ‘bantuan’ sinis sebanyak 10 billion dollar.4 Dalam persidangan Liga Arab, wakil-wakil negara akan memaki antara satu sama lain. Muammar Qaddafi pernah memanggil Arab Saudi sebagai “bekerjasama dengan syaitan”, dan perwakilan Arab Saudi akan menggelar beliau “penipu”.5 Tingkahlaku ini bukanlah satu kebiasaan di rantau Asia Tenggara.

Di Malaysia, artis berpakaian seksi akan digam dan dipulau. Di Mesir, daripada zaman Samia Gamal sehinggalah Ruby (Rania Hussein Muhammad Tawfiq), artis berpakaian seksi itu ialah satu kebiasaan.
Sudah tentu ada pihak yang menganggap penyenaraian fakta-fakta kurang enak ini sebagai tindakan memburuk-burukkan bangsa Arab. Namun begitu ini bukanlah anggapan yang adil, sedangkan kaum Melayu sudah beratus-ratus tahun mengagung-agungkan bangsa Arab, sehingga wujudnya gelaran kehormatan seperti ‘Syed’ dan ‘Sharifah’. Walhal sabda Rasulullah SAW sendiri yang diriwayatkan oleh Ahmad dan al-Baihaqi:
“Ketahuilah! Tiada kelebihan orang Arab ke atas ‘ajam (yang bukan Arab), atau ‘ajam ke atas Arab.”
Satu trend lain di kalangan anak-anak muda Melayu ialah mengaku bahawa “Saya bukan Melayu. Saya Muslim”. Ungkapan seperti ini menunjukkan betapa rendahnya tahap jatidiri di kalangan anak-anak muda Melayu, sehingga tiada masalah untuk menafikan asal-usul sendiri. Ia bukan sahaja salah daripada segi fakta, malah tindakan menafikan bahawa diri sendiri berasal daripada sesuatu bangsa adalah menyalahi firman Allah Taala dalam surah al-Hujurat, ayat 13:
“Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan.”
Bagaimana mungkin seseorang boleh mengatakan beliau tidak berasal daripada mana-mana bangsa, sedangkan Allah Taala berfirman sebaliknya?
Adakah istilah ‘bangsa’ yang dimaksudkan ialah perbezaan hidung yang mancung, tubuh yang tinggi dan kulit yang cerah semata-mata? Adakah takrif ‘bangsa’ terhenti setakat perbezaan fizikal, manakala budayanya wajib mengikuti budaya Arab?
Kita rujuk semula antara sebab turunnya ayat ke-13 surah al-Hujurat, atau jika masih cenderung menggunakan bahasa Arab maka frasanya ialah ‘asbabun nuzul’. Ayat ini telah diturunkan kerana Bani Bayadlah telah membantah tindakan Rasulullah SAW yang ingin mengahwinkan Abu Hind, seorang bekas hamba, kepada anak gadis daripada puak tersebut. Di sini perbezaan yang dipertikaikan ialah perbezaan daripada segi status sosial dan sejarah Abu Hind sebagai bekas hamba, dan bukannya perbezaan anatomi atau genetik, sepertimana di dalam salah satu lagi sebab turun ayat yang membabitkan Bilal bin Rabah.
Itulah makna istilah ‘bangsa’. Ia bukanlah semata-mata perbezaan sifat anatomi dan genetik, akan tetapi meliputi perbezaan sifat sosial, sejarah, budaya dan linguistik. Bangsa itu, ada kedudukan sosialnya, sejarahnya, budayanya, bahasanya, dan memperjuangkan semua perkara ini, yang menjadi identiti, jatidiri dan mendefinisikan sesuatu bangsa, bukanlah bersifat salah. Ia fitrah – kepelbagaian bangsa yang telah difirmankan.
Adakah sifat yang buruk-buruk sahaja yang ada pada kaum Melayu? Bukankah bangsa Melayu dan bangsa Turki yang menghantar kapal bantuan ke Palestin,6 sedangkan bangsa Arab di Mesir pula menerima bantuan 1.5 billion dolar daripada Amerika Syarikat dan menutup sempadan Palestin?7 Bukankah kaum Melayu di Malaysia, walaupun menerima subsidi, tetapi polisi ini berjaya mengelakkan kaum Melayu daripada merempat dan membuka “Malay Town” di serata dunia? Bukankah tamadun Melayu ini masih muda, tetapi sudahpun menyaingi sifat-sifat bangsa yang dikatakan memiliki tamadun berusia ribuan tahun?
Sudah tiba masanya orang Melayu berhenti mengagung-agungkankan bangsa lain, dan bertindak untuk membina jatidiri sendiri. Adalah tidak mustahil apabila jatidiri orang Melayu sudah utuh, orang Melayu akan mengambil alih dan menerajui kepimpinan dari ufuk Timur seterusnya memperbaiki nasib umat Islam di seluruh dunia.
1. “Muslim Brotherhood Claim: New Egyptian President Adly Mansour is Jewish,” The Algemeiner, 5 Julai, 2013, http://www.algemeiner.com/2013/07/05/muslim-brotherhood-claim-new-egyptian-president-adly-mansour-is-jewish/
2. “Leading the Arab revolt,” The Guardian, 12 November, 2008, http://www.guardian.co.uk/world/2008/nov/12/lawrence-of-arabia-arab-revolt
3. “Timeline: Hamas-Fatah conflict,” AlJazeera, 4 Mei, 2011, http://www.aljazeera.com/news/middleeast/2011/05/2011549435141647.html
4. “Abu Dhabi gives Dubai $10bn to help pay debts,” BBC News, 14 Disember, 2009, http://news.bbc.co.uk/2/hi/8411215.stm
5. “Is It Farewell to Arab League?,” Diplomatic Observer, 18 Mac, 2003, http://www.diplomaticobserver.com/EN/belge/2-1717/is-it-farewell-to-arab-league.html
6. “Turkish Flotillo Aid Convoy To Gaza,” Isaar Trust, http://www.isaartrust.org/index.php?option=com_content&view=article&id=102&Itemid=148
7. “A Coup? Or Something Else? $1.5 Billion in U.S. Aid Is on the Line,” The New York Times, 4 Julai, 2013, http://www.nytimes.com/2013/07/05/world/middleeast/egypts-arrests-of-islamists-pose-test-to-us-over-military-aid.html?pagewanted=all&_r=0
Janganlah sampai menghina bangsa nabi. Orang Melayu sekadar memuliakan bangsa Nabi. Gelaran Syed dan Syarifah itu berkait rapat dengan keturunan Rasululllah SAW.Bagi ASWJ, serban dan jubah adalah pakaian sunnah tetapi igal bukan. eloklah sebut perkara aib merujuk kepada negara cth orang Saudi bukan kepada bangsa Arab. orang Barat sudah lama membuat propaganda memburuk-burukkan bangsa Arab dengan tujuan untuk menghina Islam. Namun saya setuju tentang imam dari negara timur tengah adalah trend yang kurang sihat.
Saya berminat untuk tahu dari mana asalnya konsep ‘bangsa nabi’ ini.
Jika konsep ‘bangsa nabi’ ini tidak berasaskan Al-Quran atau hadis yang mutawatir, sahih atau hasan, maka ia tidak seharusnya dijadikan alasan untuk memuliakan seseorang. Bani Israil, yang megah kerana nabi-nabi terdahulu telah diangkat di kalangan mereka, telah dilaknat bertubi-tubi di dalam al-Quran.
Memuliakan seseorang kerana bangsanya tiada beza dengan merendah-rendahkan seseorang kerana bangsanya.
Walhal perbezaan seseorang di sisi Allah hanya berdasarkan ‘taqwa’.
Konsep ini bertentangan dengan firman Allah Taala surah Al-Hujurat, ayat 13.
rose tolong reply
Ya, bergantunglah kepada niat masing2. tapi kalau org kutuk2 bangsa Melayu tersinggung juga aku walaupun apa yang dikatakan itu benar.Mengaitkan perangai buruk dgn sesuatu bangsa memanglah sensitif. walaupun setiap bangsa ada perangai hodoh masing2 itu common sense.
Sewaktu kegemilangan Islam ditangan orang Arab, bangsa lain diwaktu itu turut terpengaruh dengan memakai jubah dan serban sehinggakan terpaksa dibuat peraturan supaya orang kafir memakai ikat pinggang untuk dibezakan dengan Islam.Orang-orang Eropah yg datang belajar di Baghdad tiada beza pakaian mereka dengan orang Arab Islam. Mereka tetap disanjung apabila kembali ke Eropah dan mempelopori revolusi cahaya di tanah air mereka.
Orang Melayu yang ingin menghayati Islam cenderung untuk meniru pakaian Nabi. bukan meniru pakaian Arab. Tidak hilang jatidiri bangsa Melayu bila mereka suka nak ikut nabi yang sememangnya berbangsa Arab. Ia berpunca dari rasa kasih dan rindu kepada nabi . Orang Melayu memang sepatutnya menghayati Islam dalam semua sudut, walaupun berpakaian kot,kemeja dan seluar tidak menafikan taqwa . Allah jua yang telah memuliakan Nabi yang berbangsa Arab dengan menjadikan bahasa Arab sebagai bahasa Al Quran dan syurga.
Bangsa Israel jelas dikutuk dalam AlQuran. Mereka mengangkat bangsa mereka sendiri dan menghina bangsa lain. Samakah jika bangsa Melayu memuliakan bangsa nabinya atas dasar rasa kasih itu tadi? Dalam masa yang sama Orang Arab ditegur oleh Allah dalam AlQuran supaya jangan rasa berbeza dengan orang Ajam dari sudut taqwa.Tuhan jadikan berbilang bangsa untuk berkasih sayang sesama mereka.
Terima kasih Rose,
1. Bani Israil mendabik dada sebagai ‘bangsa nabi’ dan merendah-rendahkan bangsa lain – SALAH
2. Bangsa Arab mendabik dada sebagai ‘bangsa nabi’ dan merendah-rendahkan bangsa lain – SALAH
3. Bangsa Melayu yg. menjulang bangsa Arab sebagai ‘bangsa nabi’ dan merendah-rendahkan bangsa SENDIRI – SALAH
4. Bangsa Melayu yg. menjulang bangsa Arab bukan kerana bangsanya, tetapi kerana kasih kepada Rasulullah SAW tanpa merendah-rendahkan bangsa SENDIRI – BETUL
No. 1, 2, 3 bertentangan dengan firman Allah Taala ayat 11 dan 13 serta sabda Rasullullah SAW.
No. 4 ‘kecenderungan’ untuk meniru pakaian Arab yg. dipakai Rasulullah SAW masih tetap sunnah adat (sunnah jibiliyyah).
Apa yg Nabi saw berbuat.berkata. atau segala benda berpahala jagan di keji ia..
Kalau tk mampu buat jangan dihina,.
Perihal sunah: jangan dicemuh budaya kaum dalm donia ini,jika kita berbanga dgn busana kita tiada salahnya dan kita bangga dgn pakaian Nabi kita juga tiada salahnya…
Tk perlulah nk hadis begian2 nk yg sohih aje buang yg dhoif..jubah serban pakaian Nabi saw lebih2 lagi serban adalah pakaian Malaikat jaga mulut jaga hati dan hubungan sesama makhluk Allah swt….kalu kita pakar sesuatu ilmu tk bererti kita bijak bistari semua ilmu.
ET.