“Subsidies as a whole are like opium.”
– Datuk Seri Najib Tun Razak
Ramai penyokong pembangkang kini seakan-akan tersentuh secara peribadi apabila perkataan ‘candu’ digunakan. Mengapa? Adakah mereka ‘penagih-penagih’ yang tiba-tiba merasakan maruah diri mereka diludah? Guru-guru tatabahasa sudah pasti akan menunjukkan betapa ayat yang diungkapkan oleh Perdana Menteri tersebut kekurangan satu perkara: Kata Nama. Perdana Menteri tidak menyebut perkataan ‘rakyat’, atau frasa ‘rakyat Malaysia’. Namun, pembangkang tetap melompat.
Mungkinkah selepas ini ‘aktivis anti-dadah’ Karpal Singh akan menyuruh penagih-penagih candu untuk menyaman Perdana Menteri, sama seperti ‘aktivis anti-rasuah’ Karpal Singh menyuruh perasuah-perasuah untuk menyaman SPRM? Ataukah Karpal Singh akan menyaman sendiri kerajaan, kerana mengakibatkan masalah emosi sensitif yang parah terhadap penggunaan perkataan ‘candu’ akibat kempen anti-dadah yang mengenakan hukuman mati mandatori kepada pengedar dadah?
Bukannya kerajaan yang muncul dengan preskripsi syabu (metamfetamin) bagi rawatan ketagihan candu. Bukannya kerajaan yang menuntut bermati-matian bahawa air diberikan percuma, subsidi petrol ditambah dan warga emas disuap ‘candu’ murah RM100. Siapa makan cili, dia terasa pedas: dan itu satu pepatah Melayu, bukannya pepatah PPSI.
Pepatah Melayu itu walau bagaimanapun tidak diungkapkan di Oxford. Apa yang pelik, segolongan ‘penagih’ tegar di Bayswater langsung tidak mengalami masalah emosi sensitif sepertimana yang dialami oleh pembangkang, nun jauh di Malaysia.
Golongan penagih tegar ini ialah pelancong Malaysia Hall London yang datangnya dari Malaysia. Jika namanya pelancong (bukan pelajar atau pekerja), dan tempat yang dilancongnya ialah London, sudah pastilah orangnya kaya. Jika tidak mengaku kaya, maka orangnya penipu. Fikirkan, jika mereka pelancong dan bukan pekerja di London, maka mereka meraih pendapatan dalam ringgit Malaysia. Berapa banyak ringgit Malaysia yang perlu ditukarkan untuk membeli-belah di Oxford Street?
Apa yang pelik, golongan pelancong kaya ini, yang mampu membeli-belah di Oxford Street, tidak mampu pula makan di luar kantin Malaysia Hall. Seperti yang diketahui ramai, kantin ini menghidangkan makanan yang disubsidi untuk pekerja-pekerja Suruhanjaya dan pelajar-pelajar warganegara Malaysia. Pelancong kaya yang makan di kantin Malaysia Hall tidak ubah seperti orang kaya yang menjamu selera di kantin sekolah pada setiap waktu makan.
Atau kantin universiti tempatan. Atau mana-mana lagi kantin yang disubsidi kerajaan.
Adalah mustahil bagi mereka menggunakan alasan rindu kepada masakan Malaysia sedangkan hanya berada di London selama seminggu dua. Bukankah tujuan melancong untuk merasakan pengalaman yang berbeza daripada negara asal? Jikapun mereka ketagih makanan Malaysia, mereka boleh pergi ke mana-mana restoran yang dinamakan bersempena bunga atau ikan atau mana-mana ungkapan bahasa Melayu.
Jika mereka sedikit curiga dengan restoran bernama Melayu tetapi menghidangkan arak atau bernama Melayu tetapi tukang masaknya bukan Muslim, mereka boleh saja berkunjung ke mana-mana restoran masakan halal di London. London bukannya Vatican City.
Jika mereka sangsi dengan status halal restoran-restoran tersebut, pergilah naik Tube ke Edgware Road dan datang sajalah ke restoran yang namanya pun ‘Halal’. Mudah cerita. Tukang masaknya Arab, boleh bertutur Arab fasih (cuma sebutan Inggeris tidak berapa fasih), pengunjungnya pun Arab ada yang berjubah dan berserban. Slogannya “Awwalul Matho’imul Arabiyyah lil Ma’kulatul Halal bi London”. Menunya ada tertulis “ALL BURGERS 100% HALAL BEEF”. Ya, ia halal melainkan anda mahu menyembelih sendiri lembu daging tersebut.