Strategi Mubaligh Kristian

Keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Hakim Puan Lau Bee Lan membenarkan penggunaan kalimah Allah oleh terbitan Herald – The Catholic Weekly telah membuka lembaran baru dalam sejarah undang-undang negara.

Tuntutan yang dibuat oleh Ketua Biskop Roman Katolik Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam ini juga buat julung kalinya turut mendapat sokongan daripada segelintir pemimpin politik Melayu beragama Islam.

Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan ketua pembangkang di Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim memetik contoh penggunaan kalimah Allah oleh masyarakat sejak zaman dahulu untuk diketengahkan sebagai justifikasi mereka.

Dr. Dzulkifley Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Pas, dan Khalid Samad, Ahli Parlimen Pas Shah Alam pula, berada setapak di hadapan apabila menjadi ahli Parlimen Malaysia beragama Islam pertama yang mengunjungi gereja Roman Katolik St. Paul The Hermit di Ijok dan Roman Catholic Church of Divine Mercy di Shah Alam sebagai tanda sokongan mereka.

Akan tetapi, adakah pendekatan terlalu mudah (simplistic) untuk memutuskan perihal ‘boleh atau tidak’ kalimah Allah digunakan oleh terbitan Gereja Katolik ini tepat?

Adakah kelompok pemimpin Islam yang menyokong tuntutan ini telah menganalisis sepenuhnya corak aplikasi kalimah Allah oleh kumpulan-kumpulan mubaligh Kristian yang bergerak di kawasan berpenduduk majoriti Islam?

The People of the Book contohnya, merupakan sebuah organisasi yang giat menjalankan pengembangan kepercayaan Kristian kepada umat Islam yang boleh bertutur dalam bahasa Sepanyol, khususnya di Amerika Latin.

Menurut organisasi ini, al-Quran merupakan ‘alat yang sangat efektif’ untuk memaparkan konsep kepercayaan Kristian yang boleh ‘diterima’ umat Islam. Mereka juga menganggap penggunaan kalimah Allah adalah sesuatu yang sangat diterima dalam usaha penyebaran Kristian, walaupun makna kalimah Allah dalam al-Quran tidak sama dengan makna istilah God dalam Bible.

John Hultvall, mubaligh Mission Covenant Church of Sweden yang terlibat dalam misi pengembangan Kristian di Turkestan timur (kini wilayah Xinjiang, China), sebuah kawasan berpenduduk majoriti Islam, juga berpendapat bahawa walaupun penggunaan kalimah Allah dipersoalkan di kalangan penganut Kristian sendiri, mubaligh Kristian sentiasa menggunakannya dalam usaha mereka menyebarkan kepercayaan Kristian di kalangan umat Islam.

Seorang lagi mubaligh Kristian, Kevin Greeson, telah menulis buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! yang dijadikan panduan oleh mubaligh International Mission Board (IMB) khusus untuk menyebarkan kepercayaan Kristian kepada umat Islam.

Menurut Greeson, dalam usaha penyebaran Kristian kepada budaya berbeza, para mubaligh Kristian sepatutnya menggunakan apa sahaja istilah bagi God yang digunakan dalam budaya tersebut.

Buku bertajuk The Camel: How Muslims Are Coming to Faith in Christ! yang dijadikan panduan oleh mubaligh International Mission Board (IMB) khusus untuk menyebarkan kepercayaan Kristian kepada umat Islam.

Secara harfiah (literal), penggunaan kalimah Allah sebagai terjemahan kepada istilah God dalam Bible, sebenarnya tidak tepat sama sekali. Ini diakui sendiri oleh kumpulan aktivis Kristian Pasifik dari Amerika Syarikat, Apologetics Coordination Team, yang menyatakan bahawa kalimah Allah tidak membawa makna yang sama dengan konsep triniti yang dipercayai penganut Kristian, apatah lagi setelah mengambil kira kepercayaan berbeza umat Islam bahawa Allah Taala bersifat Maha Esa dan qiyamuhu binafsih (berdiri dengan sendiri).

Malah, kumpulan aktivis itu turut menganggap penggantian kalimah ‘Allah’ untuk istilah God dalam Bible sebagai satu pencabulan (sacrilege) dan kekufuran (blasphemy) bagi penganut Kristian.

Melihat kepada penentangan terhadap penggunaan kalimah Allah dalam dunia Kristian sendiri, kelompok kecil penyokong Herald daripada parti Pas dan PKR wajib menilai semula kesungguhan mereka untuk memperjuang tuntutan tersebut.

Tambahan lagi apabila penggunaan kalimah Allah oleh gereja rata-rata diaplikasikan dalam aktiviti penyebaran kepercayaan Kristian di kawasan berpenduduk majoriti Islam. Ini adalah kerana undang-undang tertinggi negara: Perlembagaan Persekutuan, tatkala membenarkan kebebasan beragama dalam Perkara 11, Fasal (1), turut melarang pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan umat Islam dalam Fasal (4).

Ketua Biskop Tan Sri Murphy Pakiam sendiri dalam afidavit beliau telah menyatakan bahawa antara tujuan beliau mencabar keputusan Kerajaan Persekutuan melarang penggunaan kalimah Allah oleh Herald adalah untuk melaksanakan hak menyebarkan kepercayaan Kristian di kalangan penganut Kristian berbangsa Indonesia dan yang bertutur dalam bahasa Arab.

Namun begitu, saya yakin bahawa para penganut Kristian berbangsa Indonesia mampu untuk memahami istilah ‘Tuhan’, dan penganut yang bertutur dalam bahasa Arab tidak membaca artikel Herald yang ditulis dalam bahasa Melayu.

Maria Kana dalam disertasi beliau Christian Mission in Malaysia, menulis bahawa terbitan Alkitab dan Perjanjian Baru yang dilarang penjualan dan pengedarannya adalah sangat popular di kalangan generasi muda penganut Kristian Malaysia yang mengikuti pendidikan dalam bahasa Melayu.

Adakah generasi muda berbahasa Melayu yang dimaksudkan ini termasuk juga individu yang asalnya berbangsa Melayu dan beragama Islam? Jika ya, maka aktiviti penyebaran ini adalah tertakluk kepada Fasal (4) Perlembagaan Persekutuan.

Di negara ini, aktiviti church planting misalnya dijalankan oleh organisasi luar seperti Freedom Life – Church of God, selain organisasi tempatan yang bergerak di IPT.

Adalah menjadi harapan saya agar isu kalimah Allah ini tidak dijadikan ‘alat’ oleh mana-mana pihak untuk mendapatkan political mileage dan publisiti, walaupun ia nampak telah pun diberi liputan oleh media antarabangsa seperti BBC, USA Today, International Herald Tribune, Reuters, Al Jazeera, serta media Kristian seperti The Christian Post, Christian Today, Christianity Today, Christian Telegraph dan Christian News Today.

Jika perkara ini berlaku, maka ia merupakan tindakan yang amat keji di mata mana-mana pihak. Mungkin ada pihak yang menganggap tuntutan ini sebagai non-issue, namun ia juga tidak akan menjadi isu sekiranya Murphy Pakiam sebagai seorang pemimpin agama, mempertimbang mengambil jalan kompromi dengan menggunakan istilah ‘Tuhan’ yang lebih tepat, dan bukan jalan konfrontasi dengan mencabar Kerajaan Persekutuan.

Andak1


1. Andak, “Strategi mubaligh Kristian,” Utusan Online, 4 Januari, 2010, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_01.htm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s