Mana-mana pengamal undang-undang telah sedia maklum bahawa peraturan harfiah (literal rule) ialah panduan paling awal dan ringkas, berbanding peraturan-peraturan lain, yang boleh digunakan untuk mentafsirkan undang-undang. Malah, perihal peraturan menginterpretasi undang-undang ini ditekankan kepada semua pelajar undang-undang sejak tahun pertama pengajian lagi.
Peraturan harfiah menuntut bahawa undang-undang ditafsirkan mengikut makna yang umum, biasa, dan yang dinyatakan oleh kamus. Walau bagaimanapun, bahasa itu bukanlah sesuatu yang tiada had dan kelemahannya.
Adalah perlu diingat bahawa sekiranya peraturan harfiah ini digunapakai dalam satu kes pada tahun 1964, maka semua peguam di negeri Sarawak ketika itu akan digantung daripada mengamalkan undang-undang. Ianya bertitik tolak daripada tafsiran untuk perkataan “or“. Di England, seorang pengamal undang-undang perlu memilih sama ada ingin menjadi peguambela (advocate/barrister), atau peguam cara (solicitor), dan bukan kedua-duanya sekali (advocate or solicitor). Kegagalan untuk mematuhi peraturan ini boleh mengakibatkan seseorang peguam digantung daripada mengamalkan undang-undang. The Royal Commission on Legal Services, atau dikenali sebagai ‘the Benson Commission‘, telah menegaskan pada tahun 1979 bahawa:
with regard to the administration of justice, the weight of evidence is strongly to the effect that a two-branch profession is more likely than a fused one to ensure the high quality of advocacy that is indispensable, so long as our system remains in its present form, to secure the proper quality of justice.
Situasi di Malaysia adalah berbeza di mana seorang peguambela dibenarkan juga untuk menjadi peguam cara. Konsep ini digelar fused profession (profesion bergabung), dan bukan sahaja diamalkan di Malaysia, malah di Singapura, Australia, Kanada dan Amerika Syarikat.
Pada tahun 1964, badan kehakiman telah dituntut untuk menjelaskan pendirian dalam corak amalan profesion undang-undang di negara ini. Menerusi kes Re An Advocate [1964] MLJ 1, mahkamah telah ditanya mengenai interpretasi Advocates Ordinance, Seksyen 12(g):
Any advocate may be suspended from practising in Sarawak, or his name may be struck off the role of advocates . . . by order of a Judge for any of the following causes: (g) if he does any act which, if done in England, would render him liable to be disbarred or struck off the roll of the court, suspended from practice, if a barrister or solicitor in England.
Setelah mengambil kira situasi di Malaysia yang mengamalkan profesion bergabung (fused profession), mahkamah telah memutuskan bahawa perkataan “or” (“atau”) perlu dibaca sebagai “and” (“dan”) bagi mengelakkan akibat yang tidak munasabah (absurd): iaitu semua pengamal undang-undang di Sarawak digantung daripada mengamalkan undang-undang kerana bertugas sebagai peguambela dan peguam cara, dan bukan salah satu daripadanya. Peraturan yang digunakan untuk mentafsirkan undang-undang bukan secara harfiah, bagi mengelakkan keadaan tidak munasabah ini dikenali sebagai ‘the Golden Rule‘.
Walau bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas), Yang Arif Mohamad Ariff Md. Yusof, ketika mengeluarkan penghakiman kes Tan Boon Wah v. Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, Ketua Suruhanjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia and Others, tetap berpendapat bahawa peraturan harfiahlah yang patut digunapakai untuk mentafsirkan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, Seksyen 30 (3) (a):
A person to whom an order has been given under paragraph (1) (a) shall attend in accordance with the terms of the order to be examined orally to assist investigations, and shall continue to attend from day to day where so directed [by the MACC] until the examination is completed.
Yang Arif Mohamad Ariff kemudiannya mengeluarkan pengisytiharan bahawa SPRM hanya boleh merekodkan kenyataan daripada saksi ketika waktu pejabat: iaitu daripada pukul 8.30 pagi sehingga pukul 5.30 petang setiap hari, dan bukan di luar tempoh ini.
Selaras dengan penggunaaan peraturan harfiah, Yang Arif Mohamad Ariff telah merujuk kepada Oxford Dictionary of English (Second Edition) untuk menentukan bahawa frasa ‘day to day‘ bermaksud ‘ketika waktu kerja’:
Looking at the definition under the Oxford Dictionary ‘day to day’ means daily. It does not mean 24 hours a day but at anytime of the day. Hence, it should mean within normal working hours as stipulated between 8.30am and 5.30pm.1
Tambah Yang Arif, frasa ‘day to day‘ (sehari-ke-sehari), jika diberi makna ‘round-the-clock‘ (24 jam), akan menjadi tidak munasabah dan melanggar maksud sebenar penggubalan undang-undang tersebut:
I find that ‘day-to-day’ cannot mean ‘round-the-clock.’ Section 30 (3) of the Act cannot be interpreted as round-the-clock interrogation. To do so would be absurd and would offend the intention of the legislator and will curtail the ambit of personal liberty.2
Melihat kepada kenyataan ini, Yang Arif Mohamad Ariff jelas menganggap bahawa gangguan kepada kebebasan peribadi (personal liberty) ialah keburukan (mischief) yang patut dipulihkan (remedied). Namun begitu, jikapun tidak boleh round-the-clock (24 jam), patutkah pemulihan (remedy) bagi keburukan ini, mengehadkan soal siasat kepada hanya sehingga pukul 5.30 petang?
Rasuah itu sendiri tidak berhenti pada pukul 5.30 petang, Yang Arif!
Mengapa usaha pembasmiannya perlu berhenti pula?
Amatlah malang sekiranya matlamat untuk memulihkan keburukan yang kecil (gangguan kepada kebebasan peribadi), bakal mendedahkan undang-undang kepada keburukan (mischief) yang lebih besar. Pertimbangkan keburukan-keburukan ini:
1. Tindakan mengehadkan kuasa SPRM akan memberikan isyarat buruk mengenai usaha dan kerjasama badan kehakiman untuk membantu memerangi rasuah (lebih-lebih lagi tatkala ranking Malaysia dalam indeks persepsi rasuah Transparency International baru sahaja menurun ke tempat ke 56 tahun ini, berbanding 47 pada tahun lepas).3
2. Menimbulkan persepsi yang kurang menyenangkan terhadap badan kehakiman negara akibat penghakiman yang dilihat menyebelahi ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) yang dilantik parti pembangkang, DAP. Ini kerana latarbelakang Yang Arif Mohamad Ariff Md. Yusof yang pernah menjadi penasihat undang-undang parti pembangkang PAS, malah pernah bertanding sebagai calon PAS bagi DUN Kota Damansara ketika PRU ke-11 tahun 2004. Yang Arif juga pernah menarik diri daripada mendengar kes berhubung jawatan MB Perak sebelum ini bagi mengelakkan tuduhan berat sebelah.
3. Kemenangan moral kepada pesalah-pesalah rasuah.
4. Kekalahan moral kepada SPRM.
5. Peningkatan tempoh untuk menyelesaikan kes apabila soal siasat terpaksa ditangguh.
Malah peguam yang mewakili plaintif, Karpal Singh, yang juga merupakan Pengerusi DAP, telah menyatakan di luar mahkamah:
Under the Public Authorities Protection Act, civil liability on the government is limited to three years. Hence, witnesses for the past three years, who have been unlawfully detained and where interrogations were conducted after office hours could file for damages.1
Inikah sebenarnya matlamat Karpal Singh? Untuk menggalakkan pesalah-pesalah rasuah menyaman SPRM? Jika ya, maka ini merupakan satu lagi keburukan (mischief) yang besar!
Adalah sesuatu yang tidak manis untuk Karpal Singh ‘mendabik dada’ sebaik sahaja melangkah ke luar mahkamah, seolah-olah tidak sabar-sabar mahu ‘menonjolkan diri’ sebagai jaguh bagi memerangi SPRM. Bukankah sebagai seorang pengamal undang-undang, beliau sebaliknya patut membantu SPRM untuk membanteras rasuah, sebagaimana yang dicanang-canangkan oleh semua parti pembangkang dan ‘dikhutbahkan’ oleh rakan beliau, Ketua DAP di Parlimen, Lim Kit Siang?4
The literal rule is a rule against using intelligence in understanding language. Anyone who in ordinary life interpreted words literally, being indifferent to what the speaker or writer meant, would be regarded as a pedant, a mischief-maker or an idiot.
– Glanville Williams, Learning the Law
1. “High Court: MACC’s night interrogation illegal,” Malaysiakini, 19 November, 2009, http://malaysiakini.com/news/117824
2. “Court: MACC can only question witnesses during office hours (Updated),” The Star Online, 19 November, 2009, http://thestar.com.my/news/story.asp?file=/2009/11/19/nation/20091119161657&sec=nation
3. “TIM Puji PM Laksana Pembaharuan Tangani Rasuah Sekalipun Ranking CPI Menurun,” Bernama.com, 17 November, 2009, http://www.bernama.com/bernama/v5/bm/newsgeneral.php?id=456001
4. “Media Conference Statement by Lim Kit Siang in Parliament on Thursday, 19th November 2009,” dapmalaysia.org, 19 November, 2009, http://www.dapmalaysia.org/english/2009/nov09/lks/lks5480.htm