1. Tentera Diberi Amaran
Ketika menghadiri majlis penyerahan sumbangan Aidilfitri daripada Wanita UMNO kepada ATM dan PDRM, Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Jeneral Tan Sri Abdul Aziz Zainal, telah menyuarakan ‘kebimbangan’ beliau mengenai isu perkauman yang semakin menjadi-jadi di negara ini dan ‘menyarankan kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang menimbulkan isu perkauman tersebut’.1
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, yang turut berada dalam majlis yang sama, telah ‘menyahut saranan’ Jeneral Tan Sri Abdul Aziz dengan menyatakan:
“Kami sedia berkhidmat siang dan malam, hujan dan panas tanpa makan dan minum untuk menjaga kesejahteraan negara.”1
Namun, keesokan harinya, dengan tidak semena-mena, Pemuda PAS yang diketuai oleh Salahuddin Ayub telah bukan sahaja ‘menyelit’, malah dengan lantang memberi amaran supaya ATM tidak ‘terjebak dengan politik perkauman UMNO’ dan tidak ‘bersuara’. Tidak cukup dengan itu, Pemuda PAS juga menghebahkan ‘tuduhan’ bahawa tentera akan bersekongkol untuk ‘mengambil alih negara’:
Sehubungan itu katanya, dalam keadaan perkauman yang tegang seperti ini, tentera sepatutnya berkecuali dan bukannya bersuara seolah-olah membenarkan rumusan yang mengatakan tentera akan mengambil negara ini jika BN tersungkur.2
Siapakah Salahuddin Ayub sehingga layak memberikan ‘arahan’ kepada Panglima Angkatan Tentera Malaysia?
Malah, sebagai reaksi kepada kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, para penyokong Pakatan Rakyat dalam laman ‘Anwar Ibrahim Club’, telah tergamak untuk memperkatakan tentang penubuhan sebuah ‘Pasukan Bersenjata Pakatan Rakyat’.3
2. Polis Digelar ‘Anjing’
Polis sudah lama dijadikan sasaran oleh para penyokong Pakatan Rakyat untuk melampiaskan nafsu amarah dan hiburan ‘anti-establishment ‘ mereka. Ini kerana pihak polis, yang menjalankan tugas untuk menguatkuasakan undang-undang, dilihat sebagai benteng penghalang utama kepada Pakatan Rakyat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti seperti ceramah politik dan demonstrasi jalanan.
Kekecewaan para penyokong Pakatan Rakyat akibat kegagalan mereka untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti ini akhirnya dihamburkan menerusi penggunaan kata-kata kesat terhadap polis, contohnya gelaran ‘anjing’. Namun, pernahkah masyarakat melihat kata-kata kesat ini dizahirkan bukan sekadar menerusi lisan, bahkan penulisan?
Pada bulan Ogos lepas, seorang penulis blog telah ditahan kerana menghina logo polis di dalam blog beliau.4 Penulis berkenaan telah menggantikan imej muka harimau pada logo polis dengan “muka anjing yang sedang menyalak”, perkataan Allah digantikan dengan “simbol wang”, perkataan Muhammad dengan perkataan bahan letupan ‘C4’ dan lambang di puncak mahkota dengan simbol Zionisme.5
Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, berkata tindakan meletakkan gambar anjing pada logo Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam laman blog berkenaan adalah satu percubaan untuk menghasut orang ramai membenci polis.4
Selain kontroversi logo ‘anjing’ ini, ada beberapa lagi laman yang didirikan oleh para penyokong Pakatan Rakyat yang melabelkan pihak polis sebagai ‘anjing kerajaan BN’6 , ‘anjing Barisan Nasional’7 dan ‘anjing kerajaan’8 . Malah, apa yang lebih menyayat hati, laman-laman ini didirikan oleh anak-anak Melayu. Bilangan laman-laman web yang secara terang-terangan menghina polis ini menggambarkan seolah-olah tindakan menggelar polis sebagai ‘anjing’ ini bukan hanya sekadar trend , malah sudah menjadi prinsip yang dipupuk oleh Pakatan Rakyat.
Apakah gelaran ‘anjing’ ini merupakan satu bentuk carutan yang diharuskan oleh Pakatan Rakyat?
Apakah ini panggilan yang adil untuk diberikan kepada kira-kira 90,000 anggota PDRM, yang majoriti besarnya dianggotai oleh golongan Bumiputra?
Jika Pakatan Rakyat benar-benar tidak terbabit dalam menyemai dan memupuk gejala ini, maka Pakatan Rakyat perlulah membuktikannya dengan menyingkir ahli-ahlinya yang secara terang-terangan telah menghina anggota-anggota Polis DiRaja Malaysia.
3. Komunis ‘Pejuang Kemerdekaan’?
Tatkala rakyat Malaysia menyambut ulangtahun kemerdekaan negara yang ke-51, tersebar e-mel yang mempersoalkan bukan sahaja sambutan kemerdekaan tersebut, malah perihal kemerdekaan itu sendiri.
E-mel berkenaan yang bertajuk ‘Jangan Bohong Hal Merdeka’9 , bertujuan untuk menafikan sumbangan parti UMNO terhadap kemerdekaan. Beberapa fakta mengenai sumbangan UMNO untuk mencapai kemerdekaan telah diabaikan dengan sengaja. Selain itu, artikel ini juga turut menuduh UMNO bersekongkol dengan penjajah, malah secara halus cuba menyuntik dan menyelitkan hasutan bahawa pengganas komunislah yang merupakan ‘pejuang kemerdekaan’:
Rakyat telah bangun melawan dengan mengangkat senjata.9
Ribuan nasionalis telah mati berjuang melawan British.9
Kesatuan Melayu Muda (KMM), Parti Komunis Malaya (PKM) , Persatuan Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angakatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Hisbul Muslimin adalah badan-badan politik yang lebih awal bagun berjuang untuk memerdekkan Persekutuan Tanah Melayu.9
Selain Parti Komunis Malaya (PKM), artikel ini turut tidak mahu ketinggalan untuk menyebut sayap gerila komunis di Sarawak, PARAKU:
Mereka memanggil negara mereka Kalimanta Utara dengan gerakan gerila bernama – PARAKU – Pasokan Rakyat Kalimantan Utara.9
PARAKU, yang rata-rata dianggotai oleh belia daripada kaum Cina, sebenarnya bukan sahaja memiliki ideologi komunis, bahkan PARAKUlah yang telah bersekongkol dengan Indonesia untuk menghancurkan Malaysia sebelum ia dibentuk:
The timing could not be better for the CCO as Sukarno vowed that he would “crush” the federation of Malaysia even before it was formed . The Indonesian became an instant ally of the CCO, providing supplies and training facilities in Kalimantan to the CCO. By this time, Bong and Weng made their way Pontianak and hooked up with Azahari’s supporters who escaped the security net in Brunei and Limbang. The CCO played an important role in Azahari’s exiled army, the Tentera Nasional kalimantan Utara (TNKU). More than a thousand Chinese youth walk the jungle trail across the border to join. They received military training and further indoctrination. It was this group that formed the core of the Communist guerrilla units, Pasukan Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU) and Pasukan Gerilya Rakyat Sarawak (PGRS).10
Inikah yang dikatakan ‘nasionalis pejuang kemerdekaan’?
Militia yang bersekongkol dengan kerajaan asing untuk menghancurkan Malaysia?
Kaedah penulisan dan penggunaan tatabahasa dalam artikel ini juga menunjukkan bahawa ia ditulis oleh seorang bukan Melayu kerana menggunakan beberapa frasa yang jelas tidak mempunyai ciri-ciri keMelayuan:
- ‘kaum agama’ (dan bukan frasa ‘alim ulama’);
- ‘kaum kiri’ (dan bukan frasa ‘sayap kiri’);
- ‘kaum tani’ (dan bukan frasa ‘golongan petani’);
- ‘kaum komunis’ (dan bukan frasa ‘pengganas komunis’);
- ‘berkorban mati’ (dan bukan hanya perkataan ‘berkorban’).
Ketika artikel ini jelas ditulis oleh seorang bukan Melayu yang anti-Melayu, apa yang paling menyedihkan ialah ramai daripada individu-individu yang menyebarkannya terdiri daripada anak-anak Melayu yang menyokong Pakatan Rakyat.
Turut tidak mahu ketinggalan dalam ‘bandwagon‘ pencinta komunis ini, percaya atau tidak: Parti Islam Se-Malaysia, PAS!
In a ground-breaking article published in the party organ Harakahdaily.net on Sunday, the PAS research centre said CPM had been active in its campaign for independence since its formation in May 1930.11
Pada zaman penjajahan Jepun, Chin Peng dan anak buahnya adalah antara kumpulan yang paling berani menentang Jepun. Adakah boleh ditolak peranan PKM menentang penjajah? Mereka ini duduk di tengah-tengah hutan, tidur berlantaikan tanah berbumbungkan langit untuk memerangi Jepun dan mencari kemerdekaan sebenar.
Wajarkah peranan mereka tidak diperakui kini? Perjuangan PKM tidak terhenti setakat menentang penjajahan Jepun, tetapi mereka juga mengangkat senjata untuk menentang penjajah British bagi menuntut kemerdekaan.12
Walaupun kaedah ‘perjuangan’ PKM ialah dengan membakar ladang, memusnahkan rangkaian pengangkutan dan perhubungan, menyerang balai polis dan membunuh orang ramai, PAS masih mengiktiraf bahawa pengganas komunis ialah ‘pejuang kemerdekaan’.
PAS sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa, hatta menjulang pembunuh rakyat!
1. “ATM bimbang isu kaum timbulkan huru-hara,” Utusan Online , 10 September, 2008, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2008&dt=0910&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_07.htm
2. “Tentera jangan terjebak dengan politik perkauman UMNO – Pemuda PAS,” 10 September, 2008, http://pemuda.pas.org.my/index.php?option=com_content&task=view&id=509&Itemid=2
3. “Pasukan Bersenjata pakatan rakyat ..,” 9 Julai, 2008, http://anwaribrahimclub.com/forum/index.php?action=printpage;topic=1460.0
4. “Musa: Kepala anjing di logo PDRM,” Malaysiakini , 8 Ogos, 2008, http://malaysiakini.com/news/87479
5. “Logo anjing: Penulis blog mohon maaf,” Malaysiakini , 8 Ogos, 2008, http://www1.malaysiakini.com/news/87482
6. “Polis anjing kerajaan bn,” 14 Julai, 2008, http://kerabubersuara.blogspot.com/2008/07/polis-anjing-kerajaan-bn.html
7. “Polis Di Raja Malaysia “anjing” Barisan Nasional,” 14 Julai, 2008, http://aminiskandar.wordpress.com/2008/07/14/polis-di-raja-malaysia-anjing-barisan-nasional/
8. “Kes Raja Petra: Polis Anjing Kerajaan,” 26 Julai, 2007, http://faisalmustaffa.blogspot.com/2007/07/kes-raja-petra-polis-anjing-kerajaan.html
9. “Jangan Bohong Hal Merdeka,” http://forum.myKMU.net/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&t=21309&start=0
10. James Chin, “ VL Porritt, The Rise and Fall of Communism in Sarawak 1940-1990 (Melbourne: Monash Asia Institute, 2004),” http://kyotoreviewsea.org/Chin_eng.htm
11. “PAS: Communist party helped secure Merdeka,” Malaysiakini , 29 Ogos, 2008, http://www.malaysiakini.com/news/56016
12. “Pensejarahan semula perjuangan kemerdekaan: Satu tuntutan keadilan,” HarakahDaily.Net , 27 Ogos, 2008, http://www.harakahdaily.net/index.php?option=com_content&task=view&id=3962&Itemid=50
Orang Melayu yang menuduh pasukan keselamata dengan gelaran yang tidak sepatutnya adalah orang yang lupa sejarah dan tak sedar diri dipergunakan olih pihak yang buta sejarah negara.terima kasih
apa kelayakan Parti Komunis Malaya nak perjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu? mereka bukan rakyat Tanah Melayu!!!! mereka rakyat China yang dibuang!!