Memorandum GMP: Perspektif Berbeza Yang Sengaja Dicicirkan

PPSMI Bukan Hukuman

1. GMP di dalam memorandumnya telah menggesa kerajaan supaya mengambil tindakan serius untuk membaiki pengajaran bahasa Inggeris. Tidakkah GMP berpendapat bahawa PPSMI ini, ialah satu usaha kerajaan yang benar-benar serius?

2. Jika GMP mahu pengajaran bahasa Inggeris diperbaiki secara serius, maka apa pula cadangan GMP?

3. Sejarah telah mengajar kerajaan, malangnya gagal mengajar GMP; hakikat betapa rakyat Malaysia ketagihkan bantuan, namun liat untuk berkorban. Rakyat Malaysia ketagihkan bantuan berbentuk kebendaan seperti wang ringgit, tetapi liat untuk menerima bantuan berbentuk dorongan untuk belajar. Ini kerana bantuan kebendaan mampu melayan nafsu mereka, sedangkan dorongan belajar memaksa mereka menekan nafsu.

4. PPSMI patut dianggap sebagai satu bentuk bantuan kerajaan untuk mendorong para pelajar menguasai sains, matematik dan bahasa Inggeris, melalui kaedah penguatkuasaan yang tegas. GMP sendiri mengakui bahawa masih ramai para pelajar yang tidak fasih berbahasa Inggeris walaupun setelah mempelajarinya selama 11 tahun di sekolah. Maka tidakkah GMP fikir bahawa sudah tiba masanya untuk satu bentuk penguatkuasaan yang lebih tegas?

5. Penguatkuasaan dan pengorbanan ialah dua faktor yang wujud dalam proses pembangunan mana-mana bangsa dan tamadun yang berjaya. Tiada tamadun ulung dalam sejarah dunia yang wujud tanpa penguatkuasaan. Malah, tanpa pengorbanan para pendakwah Islam yang meninggalkan tanah Arab dan keluarga mereka, kaum Melayu mungkin pada hari ini tidak dapat mengecap nikmat iman.


Kelangsungan Bangsa Matlamat Utama

6. GMP menyatakan bahawa tanda kejayaan pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik dalam bahasa Melayu ialah kejayaan ribuan pelajar menjadi tenaga pengajar di IPT dan profesional yang berurusan dalam bahasa sendiri. Selain itu, jumlah tesis Sarjana Sains (M. Sc.) dan Doktor Falsafah (Ph.D.) dalam bidang sains dan matematik yang banyak juga disebut sebagai satu lagi tanda kejayaan. Namun begitu, berbanding kerajaan, GMP tidak perlu menanggung beban tanggungjawab yang lebih besar: iaitu untuk memastikan kesinambungan kemakmuran negara melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan.

7. Individu yang menulis tesis Sarjana Sains, perlu bekerja. Individu yang menulis tesis Doktor Falsafah, perlu bekerja. Bekerja di mana?

8. Berapa banyakkah lagi IPT, atau pusat penyelidikan, atau maktab, yang perlu dibuka oleh kerajaan, semata-mata untuk mewujudkan peluang pekerjaan bagi individu-individu ini bekerja sebagai pensyarah yang mengajar dalam bahasa sendiri? Setelah membuka Universiti Malaysia Kelantan, Pahang, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu, selain 14 universiti awam yang sedia ada, adakah GMP merasakan bahawa kerajaan perlu menambah bilangan ini dengan membuka Universiti Malaysia Ulu Tembeling, Bario dan Pulau Banggi pula? Tidakkah GMP bersetuju, bahawa akan tiba satu masa, di mana pelajar-pelajar ini, tidak boleh lagi bergantung harap kepada kerajaan sahaja untuk dihidangkan dengan peluang pekerjaan? Tatkala itu, di mana mereka akan bekerja?

9. Adalah hampir mustahil sekiranya golongan pemegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah diharapkan akan rata-rata menerima pekerjaan sebagai buruh atau petani. Pengalaman kerajaan pula membuktikan bahawa pelajar Melayu/Bumiputra khususnya, liat untuk berniaga dan tambah liat pula untuk berjaya dalam perniagaan mereka. Sekiranya golongan ini tidak mahu bertani dan berniaga, maka bukankah akhirnya mereka akan terpaksa menjaja kelulusan mereka untuk mendapatkan pekerjaan di syarikat-syarikat multinasional (MNC) pula?

10. Hampir tiada MNC (bukan GLC) yang menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. MNC mana pula yang membenarkan pekerja-pekerjanya mengajar, berbincang, mengarang buku dan menerbitkan hasil-hasil kajian saintifik dalam bahasa Melayu? Jawapannya juga: hampir tiada. Jadi golongan pemegang Sarjana Sains dan Doktor Falsafah ini akan terpaksa juga menjadikan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris, sebagai bahasa pengantar.

11. Rakyat Malaysia yang bekerja dengan MNC merupakan ‘duta’ untuk Malaysia. Sekiranya majoriti rakyat Malaysia yang diterima bekerja di MNC terdiri daripada kaum bukan Melayu sahaja, maka perspektif majikan-majikan bangsa asing MNC terhadap Malaysia akan diacu menurut perspektif masyarakat bukan Melayu. Perspektif daripada hanya satu pihak ini jugalah yang akan disebarkan oleh majikan-majikan bangsa asing MNC ke negara mereka masing-masing, seterusnya membentuk tanggapan tidak seimbang warga asing terhadap Malaysia.

Kabinet Singapura (Gambar daripada http://theonlinecitizen.com)

12. Kerajaan mahu menghindarkan kewujudan situasi tidak seimbang seperti di negara jiran Singapura, di mana hanya satu kaum sahaja yang memonopoli majoriti peluang kerja di sektor kerajaan, syarikat tempatan mahupun MNC. Sebarang perubahan pada polisi kerajaan lebih mudah ditentukan apabila semua kaum memiliki tahap daya saing yang seimbang.

13. GMP perlu ingat bahawa kerajaan sentiasa bertungkus-lumus memerah kreativiti untuk mencipta peluang-peluang pekerjaan baru. Selepas industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah, industri kelapa sawit pula diusahakan. Kemudiannya, Dasar Pandang ke Timur diwujudkan yang berjaya memikat pelbagai MNC Jepun seperti Sony, Denso, Panasonic dan Hitachi untuk membuka kilang-kilang pembuatan di Malaysia.

14. Kini, era perkilangan dan industri pembuatan di Malaysia semakin berlalu dan tidak mampu lagi menampung permintaan peluang-peluang pekerjaan. Kilang-kilang yang ada pun, sedikit demi sedikit telah berpindah ke China yang menawarkan kos operasi yang jauh lebih murah. Maka, kerajaan berikhtiar pula untuk mewujudkan peluang-peluang pekerjaan bercorak ekonomi pengetahuan (knowledge economy). Cyberjaya telah diwujudkan untuk menarik pelaburan-pelaburan berasaskan k-ekonomi pula.

15. Namun, seperti yang kita lihat hari ini, Cyberjaya kini memiliki bilangan pekerja warga asing yang semakin meningkat, termasuk dari India. Mengapa? Hakikatnya Malaysia sekadar mampu menyediakan prasarana dan infrastruktur, tetapi gagal menawarkan isinya: iaitu tenaga kerja tempatan yang memiliki kombinasi pengetahuan dalam teknologi maklumat dan keupayaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.

Para pekerja industri outsourcing India sedang berehat di Gurgaon, India. (Gambar oleh Zackary Canepari untuk The New York Times)

16. Graduan-graduan Melayu/Bumiputera yang dihasilkan oleh IPT tempatan memiliki kemahiran teknikal yang baik, namun kemahiran itu gagal diaplikasikan dalam persekitaran kerja yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai pengantar. Graduan-graduan Melayu/Bumiputera yang keluar daripada IPT tempatan seharusnya telah bersedia untuk memulakan kerja serta-merta. Tiada MNC yang mahu membazir masa bagi mengambil graduan-graduan yang tidak bersedia dan terpaksa ‘kembali ke sekolah’ untuk mempelajari semula istilah-istilah teknikal dalam bahasa Inggeris.

17. India misalnya, telah meraih pulangan tahunan sebanyak USD11 billion (RM40 billion) daripada industri outsourcing. Pulangan tersebut dianggarkan akan berlipat lima kali ganda kepada USD50 billion (RM182 billion) sebelum tahun 2012, walaupun setelah mengambil kira kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat. Industri outsourcing ini telah memberikan peluang pekerjaan kepada 700,000 rakyat di India, semuanya kerana kemahiran mereka berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Menurut Som Mittal, Presiden National Association of Software and Service Companies (Nasscom):

The boom in business process outsourcing, or BPO, is built on a large, skilled and cheap English-speaking workforce.
http://www.financialexpress.com/news/indias-outsourcing-revenue-to-hit-50-bn/266661/

Tidakkah GMP menganggap rakyat Malaysia layak merebut peluang keemasan sebegitu?


PPSMI Bukan Baru

18. GMP menyebut negara-negara seperti Jepun, Korea, China dan Taiwan sebagai negara yang maju sains dan teknologinya. Sekali lagi, kita lihat secara ketara betapa GMP sengaja tidak menyebut India dan kejayaannya dalam industri outsourcing dalam memorandum panjang lebarnya.

19. Berapa banyakkah pulangan yang Jepun, Korea, China dan Taiwan perolehi daripada industri outsourcing? Adakah sebanyak USD11 billion setahun, seperti India? Jika Jepun, Korea, China dan Taiwan tidak inginkan walau secebis daripada RM40 billion itu, patutkah kita meniru mereka? Sudah tentu tidak, sama seperti negara-negara yang tidak mahu menanam kelapa sawit dan tidak mahu melaksanakan Dasar Pandang ke Timur suatu masa dahulu.

20. Hakikatnya Jepun, Korea dan Taiwan kini terpaksa berhempas pulas untuk berada setapak lebih maju daripada China dalam penciptaan produk-produk baru. Ini adalah bagi mengekalkan keistimewaan mereka sebagai ‘pelopor industri penciptaan‘, kerana China merupakan ‘pemimpin industri pengeluaran‘ dengan kos buruhnya yang jauh lebih murah. Kini China semakin rancak mencipta, malah meniru produk-produk mereka. Jika China sudah pandai mencipta, apa lagi keistimewaan yang dimiliki Jepun, Korea dan Taiwan?

21. GMP menggambarkan PPSMI seolah-olah English linguistic imperialism atau dasar penjajahan bahasa Inggeris. Seharusnya GMP lebih bersikap terbuka dan tidak sekadar menghentam ikhtiar kerajaan yang ikhlas untuk memanfaatkan ciri-ciri rakyat Malaysia yang sudah didedahkan dengan konsep-konsep Inggeris, sepertimana rakan negara Komanwelnya India mengeksploitasi ciri-ciri tersebut bagi mencetus tsunami kemakmuran paling hebat dalam sejarahnya. GMP perlu bersikap realistik dan mengakui bahawa Malaysia hanya sebuah negara kerdil, yang tidak boleh berlagak bak negara gergasi seperti China.

22. GMP mengagungkan negara seperti Jepun sebagai contoh negara maju yang tidak mengamalkan PPSM dalam bahasa asing. Tetapi tahukah GMP bahawa ketika era Meiji, Jepun telah membelanjakan 2.272 juta yen, atau 33.7% daripada bajet tahunannya untuk membawa oyatoi gaikokujin daripada negara-negara Barat bagi mengajar rakyat Jepun bukan sahaja mengenai sains dan matematik, malah pertanian, undang-undang, kejuruteraan, seni, muzik dan ketenteraan, semuanya dalam bahasa asing? Adakah GMP menyangkakan bahawa Jepun itu maju secara tiba-tiba dengan bahasanya sendiri?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s