Layakkah Penglipur Lara Memerintah Negara?

Masjid merupakan istilah yang lahir daripada bahasa Arab. Ia bererti ‘tempat sujud’, dan merujuk kepada tempat yang dikhususkan untuk umat Islam melaksanakan ibadah, terutamanya solat berjemaah.

Manakala frasa ‘kelab komedi’ pula merujuk kepada kelab-kelab malam di Amerika Syarikat, Kanada dan negara-negara Eropah, yang mempersembahkan ahli-ahli komedi sebagai tarikan utama, serta mula bercambah sejak dekad 60-an. Ahli-ahli komedi ini dikenali sebagai ‘stand-up comedian‘, dan antara pelakon-pelakon terkenal yang memulakan kerjaya mereka sebagai ‘stand-up comedian‘ ialah Jim Carrey, Jerry Seinfeld, Tim Allen dan Steve Martin. Di kelab-kelab komedi ini, lawak yang menghina individu, bangsa malah agama, merupakan sesuatu yang biasa. Mana-mana pengunjung yang sensitif terhadap penghinaan ini rata-rata dianggap tidak tahu menilai jenaka dan tidak memiliki sense of humour .

Kelab komedi dan masjid sudah tiada beza (Gambar The Comedy of A.Z.)

Kelab komedi dan masjid sudah tiada beza. (Gambar oleh The Comedy of A.Z.)

Populariti kelab-kelab komedi adalah cukup untuk dijadikan asas bagi sebuah rancangan realiti televisyen, Last Comic Standing, yang memaparkan pencarian bakat-bakat baru ‘stand-up comedian‘ di Amerika Syarikat dan mula disiarkan pada tahun 2003. Di Malaysia, kita diperkenalkan kepada rancangan ‘Raja Lawak’, yang ditayangkan oleh saluran televisyen satelit berbayar, Astro Prima.


1. Masjid dan Kelab Komedi: Sudah Tiada Beza

Ketika masjid merupakan tempat untuk umat Islam menekan nafsu dan mengabdikan diri kepada Allah Taala secara berjemaah, kelab komedi pula adalah premis untuk para pengunjungnya beramai-ramai melampiaskan nafsu berhibur: bergaul bebas antara bukan mahram, meminum arak, mendengar maki hamun, carut-mencarut dan bergelak ketawa tanpa batasan. Pendek kata, masjid dan kelab komedi, adalah dua tempat yang jauh berbeza.

Namun begitu, sempadan yang membezakan dua hujung yang ekstrim itu kini telah dikaburkan oleh golongan penceramah agama yang kelakuan mereka lebih menyerupai penglipur lara. Kini:

  • Masjid telah menjadi tempat melontarkan maki hamun, sama seperti kelab komedi;
  • Masjid telah menjadi tempat menghamburkan carutan, sama seperti kelab komedi;
  • Masjid telah menjadi tempat bergelak ketawa, sama seperti kelab komedi.

Antara perbezaan yang masih wujud mungkin hanyalah cara para ‘stand-up comedian‘ menyampaikan lawak jenaka mereka sambil berdiri, manakala golongan penceramah mempersembahkannya sambil duduk bersila.

Golongan penceramah ini telah mengeksploitasi dua fitrah manusia: naluri untuk berhibur dan naluri untuk berbuat kebaikan (morality); seterusnya menggabungkan kedua-dua naluri tersebut bagi mencapai matlamat peribadi atau organisasi mereka.

Golongan penceramah agama telah mengeksploitasi naluri untuk berhibur dan naluri untuk berbuat kebaikan (morality); seterusnya menggabungkan kedua-dua naluri tersebut bagi mencapai matlamat peribadi atau organisasi mereka.


2. Bagaimana Gejala ‘Kelab Komedi-Masjid’ Berleluasa?

Bagaimanakah gejala ‘kelab komedi-masjid’ ini boleh berleluasa? Bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, telah memberikan sebab-sebab berikut di dalam artikel hasil penulisan beliau:

a. Ketiadaan kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai serta menapis fakta
Ramai antara para penceramah yang mengutip apa sahaja bahan yang dirasakan boleh menarik minat pendengar, tanpa menjustifikasikan nilai ilmiahnya dan kewajaran untuk memperkatakan perkara tersebut di masjid. Menurut Dr. Asri:

Malanglah jika modal sesetengah penceramah agama ialah maklumat yang dikutip dari apa sahaja bahan yang sampai kepada mereka. Ibarat kata, membujur lalu, melintang patah. Mereka tidak mempunyai kekuatan ilmiah dan minda dalam menilai dan menapis fakta. Maka, semua yang dibaca dianggap benar dan disampaikan. Sehingga buku palsu “Dialog Nabi S.A.W. Dengan Iblis” juga dipercayai. Antaranya, konon baginda Nabi S.A.W. bertanya Iblis, “apakah tempat yang paling engkau suka?”. Jawab Iblis “panggung wayang”. Walaupun, penceramah mungkin mempunyai tujuan tertentu. Namun kepalsuan adalah musuh agama ini. Kita tahu pada zaman Nabi S.A.W. belum ada panggung wayang. Bagaimana mungkin istilah ini muncul. Sudahlah cerita-cerita dalamnya tidak mempunyai sanad yang diterima, ditambah lagi dengan kebodohan jalan cerita yang boleh menyebabkan generasi yang berakal menolak agama. Padahal itu bukan fakta agama.1

b. Latarbelakang pendidikan penceramah yang lemah
Dr. Asri telah mendedahkan sikap sambil lewa sebahagian penuntut Malaysia yang dihantar ke Timur Tengah untuk melanjutkan pelajaran di bidang pengajian Islam:

Lebih malang lagi, orang Melayu ada yang menganggap sesiapa sahaja yang pulang dari Timur Tengah mesti pandai agama. Mereka lupa berapa ramai Arab yang jahil agama dalam ertikata yang teramat sangat.

Mereka tidak sedar ramai juga yang ke Timur Tengah, tapi tidak belajar. Hanya sekadar tidur, makan angin, duduk dengan sesama Melayu. Jika belajar pun, belajar sesama sendiri, atau mana-mana ustaz Indon, kemudian pulang kononnya sebagai lulusan Timur Tengah.2

Pusat-pusat pengajian di Timur Tengah seperti al-Azhar sebenarnya tidaklah menyerupai seperti apa yang kita anggap sebagai IPT atau universiti di negara ini: kelompok bangunan-bangunan fakulti yang berpusat di kampus, bilik-bilik kuliah yang lengkap dengan alat bantuan mengajar, kurikulum bersepadu dan memberi penekanan kepada penglibatan mahasiswa dalam kuliah.

Sesetengah pusat pengajian tidakpun memiliki kawasan kampus yang khusus, dan kelas-kelas tidak semestinya diadakan di bilik-bilik kuliah. Menurut Dr. Asri, sistem pusat pengajian Timur Tengah yang berbeza ini mengakibatkan segolongan para penuntut Malaysia di Timur Tengah tidak serius ketika belajar:

Bahkan, jangan hairan, ada yang pulang dari Timur Tengah, kurang mampu membaca bahan dalam Bahasa Arab. Jika mampu, ada pula yang kurang menguasai bahan dan tidak banyak tahu tentang latar belakang bahan-bahan ilmiah. Apatah lagi sistem sesetengah pusat pengajian di Timur Tengah seperti al-Azhar tidak mengambil pusing tentang kehadiran pelajar.2

Apa yang lebih mendukacitakan ialah tidak kurang juga bilangan penuntut Malaysia yang gagal dalam pengajian mereka, kemudian pulang ke tanahair dan digelar ‘ustaz’:

Bagaimana mereka lulus – jika betul lulus – tanyalah kepada yang jujur!

Maaf saya katakan, sesetengah mereka sebenar tidak pulang membawa khazanah ilmu.

Mereka membawa diri mereka yang asal. Mereka bagaikan barangan Thailand yang dihantar ke Amerika, dicop di sana dan dikirim semula.

Dengan nama Timur Tengah, ramai juga yang menjadi penceramah. Hanya atas nama itu, orang ramai menganggap semua isi kandungan ucapan mereka benar.2

Masalah kualiti graduan-graduan bidang pengajian Islam ini sebenarnya bukanlah unik kepada pusat-pusat pengajian di Timur Tengah sahaja. Jika diteliti, syarat kemasukan untuk mengikuti pengajian bidang agama di Malaysia agak mudah apabila dibandingkan dengan kursus-kursus bidang lain seperti Perubatan, Perakaunan dan Kejuruteraan. Sebagai contoh, kursus Sarjana Muda Pengajian Islam yang ditawarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) meletakkan syarat-syarat penerimaan masuk seperti berikut:

1. Sijil Pelajaran Malaysia

Calon-calon mestilah lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau yang setaraf dengannya serta lulus dengan kepujian dalam mata pelajaran Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu; dan

2. Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia atau yang setaraf.

a. Calon mestilah lulus gred C (NGMP 2.00) mata pelajaran Pengajian Am dalam sekali peperiksaan STPM atau yang setaraf dengannya;
b. Calon-calon mestilah lulus gred C (NGMP 2.00) dalam mata pelajaran Bahasa Arab dan Syariah atau Usuluddin serta salah satu (1) daripada mata pelajaran berikut (Syariah, Usuluddin, Bahasa Malaysia, Sejarah, Geografi, Kesusasteraan Melayu, Literature in English, Ekonomi, Pengajian Perniagaan, Perakaunan, Perkomputeran, Matematik, Sains) dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).3

Dapatkan hanya gred C bagi empat subjek ketika STPM: Bahasa Malaysia, Pengajian Am, Bahasa Arab dan Syariah; dan seseorang layak untuk melanjutkan pelajaran di bidang Pengajian Islam.

Setelah lulus, graduan bidang Pengajian Islam tersebut layak dianugerahkan gelaran ‘ustaz’ oleh masyarakat. Berbanding graduan-graduan bidang lain, segala kata-kata yang dilontarkan oleh ‘ustaz’ ini di masjid, akan diangguk dan diiyakan sebagai sahih lagi mutawattir, hatta oleh bijak pandai seperti doktor, akauntan dan jurutera. Mudah bukan, untuk menjadi seorang yang berkuasa di kalangan masyarakat Melayu Malaysia?

Tambah mudah lagi sekiranya penuntut berkenaan belajar di al-Azhar. Beliau tidakpun perlu lulus untuk kemudiannya dijulang sebagai ‘ustaz’ yang lebih berkualiti daripada lulusan universiti tempatan.

Apa yang pasti, secerdik manapun seseorang ‘ustaz’ itu, jika memiliki niat yang rosak, maka rosaklah ajarannya. Kerosakan ini akan berlipat kali ganda apabila ‘ustaz’ yang mengajar itupun, sebenarnya bukanlah secerdik mana: malah gagal dalam pengajian.

c. Masjid dieksploitasi sebagai sumber pendapatan
Sebahagian penuntut pusat pengajian Timur Tengah yang gagal, akan pulang ke tanahair dengan menyembunyikan kegagalan mereka, semuanya atas  alasan untuk melindungi keaiban keluarga. Mereka bagaimanapun akan berkahwin, dan setelah berkeluarga, akan mendapati diri mereka berada dalam situasi yang memaksa bagi mencari nafkah.

Maka setelah keluarga dijadikan alasan untuk membisu perihal kegagalan dalam pengajian, sekali lagi keluarga dijadikan alasan untuk menyalahguna masjid sebagai sumber pendapatan.

Apabila ketiadaan kelulusan menjadi batu penghalang kepada golongan ini untuk mencari kerja, maka mereka akan berpaling kepada sirkit ceramah di masjid-masjid bagi mendapatkan wang. Menurut Dr. Asri:

Adalah menyedihkan jika ada pihak yang menganggap, ceramah agama sebagai sumber mengumpul kekayaan. Tujuan ceramah ialah duit. Maka dia mencetuskan apa yang dirasakan boleh menghasilkan duit. Lalu dia rela mengorbankan ilmu dan fakta hanya kerana harta. Kata al-Syeikh Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib: “Kebanyakan qussas (tukang cerita) mereka hanya pentingkan orang ramai berkumpul kepada mereka. Maka mereka pun mencipta hadith apa yang boleh disukai dan membangkitkan jiwa orang ramai, menggerakkan perasaan dan memberikan harapan. Di kalangan para qussas ada yang melakukan itu semua demi untuk memperolehi habuan dan faedah dari pendengar. Kebanyakan bala datang daripada mereka. Mereka berdusta kepada Nabi S.A.W. dan tidak pula menganggap itu sebagai dosa dan pembohongan. Peliknya – mendukacitakan – mereka memperolehi pula telinga-telinga yang sudi mendengar, membenarkan dan membela mereka. Ini disebabkan kejahilan orang awam yang tidak mementingkan kajian dan penelitian.” (Muhammad ‘Ajjaj al-Khatib, Usul al-Hadith, m.s. 424, Beirut: Dar al-Fikr)

Inilah hakikat yang berlaku sehingga ke hari ini. Entah berapa ramai penceramah tidak meneliti kedudukan fakta-fakta yang dikemukakan. Apa yang mereka pentingkan ialah jemputan orang ramai dan kesudian mereka untuk mendengar. Sebab itulah pada zaman dahulu Ibn `Umar beliau mengarahkan agar pihak berkuasa mengeluarkan mereka dari masjid dan `Umar bin `Abd al-`Aziz pula memenjarakan mereka dan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka. (Lihat: Nasir bin `Abd al-Karim al-`Aql, Al-Ahwa` wa al-Firaq wa al-Bida’ `ibr Tarikh al-Islam, m.s. 44.). Kesalahan mereka bukan kerana mereka memberi nasihat kepada orang ramai. Rasulullah S.A.W. dan para ulama salaf juga memberi ceramah dan nasihat kepada orang ramai. Namun yang salah ialah mereka menyebarkan perkara-perkara palsu.1

Oleh kerana para penceramah ini menganggap ceramah di masjid sebagai satu-satunya sumber kewangan, maka isi kandungan ceramah mereka telah direka khusus (tailored) untuk menarik seramai mungkin pendengar, dan bukan diasaskan kepada penyampaian ilmu:

  • jika masyarakat mahukan alternatif kepada hiburan barat, maka mereka berikan ceramah yang mengundang gelak ketawa;
  • jika masyarakat mahukan saluran untuk melampiaskan nafsu amarah, maka mereka berikan ceramah yang memupuk nafsu amarah;
  • jika masyarakat mahukan gosip, maka mereka berikan ‘maklumat-maklumat terkini’ yang separa benar (half-truth) dan penuh kata-kata yang membesar-besarkan (exaggeration);
  • jika masyarakat mahukan alternatif kepada hiburan lucah, maka mereka berikan ceramah berbaur lucah.

Ramai yang masih ingat kontroversi ‘Mayat Menjadi Babi’ pada tahun 90-an yang telah ditimbulkan oleh penceramah Ustaz Kamal Ashaari. Ketika menyampaikan ceramah, beliau telah mendakwa pernah menguruskan jenazah di Damansara yang rupanya bertukar menjadi babi, kerana kononnya si mati mengamalkan rasuah ketika hidup. Pihak JAIS telah bertindak tegas dengan memecat Kamal Ashaari yang ketika itu merupakan salah seorang kakitangannya. Namun begitu, tindakan JAIS ini tidak mampu menghalang sesetengah pihak yang masih mengiktiraf ‘kepakaran’ Kamal Ashaari ‘menyulam hikayat’, sehingga walaupun setelah kontroversi tersebut timbul, beliau tetap boleh diangkat menjadi Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Selangor.

Dr. Asri memberikan teguran keras kepada pihak yang mereka-reka cerita dengan melabel ia sebagai ‘modal murahan’:

Masih ramai ustaz-ustaz kita yang kadang kala bermodalkan cerita dongeng dan kartun. Di samping riwayat Israiliyyat dan hadith-hadith palsu yang dibaca di dalam masjid dan surau, mereka menokok tambah kejadian-kejadian pelik untuk menarik perhatian pendengar. Cerita mayat jadi itu dan ini menjadi modal murahan. Dengan tidak dinafikan Allah mampu melakukan segala-galanya, namun sejarah menunjukkan Allah tidak bertindak demikian kepada umat NabiNya yang akhir.1

Dr. Asri menyatakan bahawa golongan penceramah yang menyerupai penglipur lara ini sebenarnya telah lama dibincang oleh para ulama hadis:

Para ulama hadith sejak dahulu mengingatkan umat Islam tentang bahaya golongan qussas dan wu’adz.

Golongan ini adalah antara yang paling berperanan menyediakan hadith palsu, atau menyebarkannya. Bahkan melalui mereka tersebarnya Israiliyyat, petua-petua khurafat dan cerita-cerita karut yang disandarkan kepada tokoh itu dan ini.

Agama tercemar kerana mereka.

Secara ringkas kita terjemahkan wu’adz dan qussas sebagai para penceramah agama dan penglipurlara.2

Selain daripada golongan penceramah yang meletakkan harga kepada ‘air liur’ mereka, masjid-masjid di Malaysia juga dibanjiri golongan penceramah yang menjaja produk-produk mereka di rumah-rumah Allah Taala:

Lebih dukacita lagi, sebahagian penceramah, menjadikan masjid dan surau sebagai platform mengiklankan barang-barang jualan mereka. Atau mengiklan produk-produk mereka yang disokong oleh dalil-dalil yang kebanyakannya tidak benar. Namun masyarakat umum yang telah memberi kepercayaan, ramai yang termakan. Akhirnya masjid menjadi pusat iklan barangan untuk kepentingan pihak-pihak tertentu. Sedangkan peniaga-peniaga lain tidak ada peluang. Kalau satu syarikat diizinkan, mengapa syarikat yang lain tidak? Jika semuanya diizinkan, jadilah masjid bagaikan ‘pasar lambak’ tempat peniaga mengiklankan barangan mereka. Barangkali inilah hikmat baginda Nabi S.A.W. menyebut: “Jika kamu melihat seseorang menjual atau membeli di masjid, maka katakanlah: ALLAH tidak akan menguntungkan perniagaanmu..” (Riwayat al-Tirmizi, disahihkan oleh al-Albani)1

d. Budaya mewakil dan loophole dalam adat resam Melayu
Masyarakat Melayu kurang memiliki semangat inkuiri. Jikapun wujud, semangat inkuiri itu akan ternoktah sebaik sahaja menyentuh bab agama:

  • Membaca buku-buku bagi menimba ilmu agama disinonimkan dengan kesesatan sehingga wujud label ‘berguru dengan kitab’;
  • Menyiasat latarbelakang pendidikan seorang penceramah dianggap sebagai ‘menjaga tepi kain orang’;
  • Mempersoal isi kandungan ceramah yang disampaikan oleh para ‘ustaz’ dianggap sebagai ‘melawan cikgu’ dan ‘berlagak pandai’.

Apa yang pelik, taboo atau pantang-larang ini tidak pula digunapakai untuk bidang-bidang pengajian selain agama. Loophole dalam adat resam Melayu inilah yang dieksploitasi sebaik mungkin oleh golongan penceramah bagi mengaut keuntungan dan mencapai kedudukan separa-maksum (untouchables) di dalam masyarakat.

Tambah memburukkan keadaan, masyarakat Melayu juga memiliki tabiat gemar menyerahkan secara bulat-bulat perlaksanaan amalan-amalan agama kepada ‘ejen’ atau ‘wakil’:

  • membayar wang kepada ‘wakil’ untuk mengajar anak mengaji;
  • membayar wang kepada ‘wakil’ untuk membaca doa selamat ketika kenduri;
  • membayar wang kepada ‘wakil’ untuk menyampaikan ceramah.

Budaya mewakil ini bukanlah untuk dilihat sebagai bukti bahawa masyarakat Melayu mendahului syarikat-syarikat multinasional dunia dalam trend ‘outsourcing‘. Sebaliknya ia patut dipandang sebagai simbol sikap malas untuk memikul tanggungjawab dan mendalami amalan-amalan yang dianggap leceh.

Apa yang lebih malang ialah orang Melayu turut melantik ‘ejen-ejen’ dan ‘wakil-wakil’ untuk ‘memperjuangkan agama’.

Apa sahaja organisasi yang mengguna pakai label Islam akan dipercayai bulat-bulat dan dilantik sebagai ‘wakil’ untuk ‘memperjuangkan agama’ dengan cara membuang undi.

Dr. Asri menyebut kejahilan orang ramai sebagai salah satu lagi sebab mengapa penceramah-penceramah seperti Sharil Long, akan kekal kebal dan bermaharajalela di rumah-rumah Allah Taala:

Orang ramai yang jahil menjadi mangsa. Mereka tidak dapat membezakan antara tokoh ilmiah dengan ‘ustaz jadi-jadian’ yang menjadi penceramah segera dengan hanya belajar beberapa hari atau baca beberapa buku Melayu, atau terjemahan.

Lalu ada yang menghiasi ceramahnya dengan hadith-hadith palsu, fitnah, lawak jenaka, maki hamun yang ada pula pendengar yang sudi menadah telinga untuk mereka.

Jika keadaan ini dibiarkan, entah berapa ramai lagi ‘Sharil Long’ yang akan muncul.

Rosaklah kemurnian masjid dan surau.2


3. Layakkah Penglipur Lara Memerintah Negara?

Those who cannot remember the past are condemned to repeat it.
– George Santayana, 1905

Sejarah dunia dipenuhi dengan individu-individu yang memanfaatkan secukup-cukupnya kemahiran oratory mereka untuk memanipulasi puluhan ribu manusia. Ketika ramai daripada kalangan individu-individu tersebut yang mengguna pakai kemahiran mereka untuk kebaikan, ramai juga yang menggunakannya untuk melampiaskan nafsu serakah terhadap kuasa.

Ferdinand Marcos, Benito Mussolini dan Adolf Hitler hanyalah sebilangan kecil nama-nama individu yang telah berjaya mempengaruhi orang ramai untuk melakukan kerosakan, dengan hanya bermodalkan kata-kata. Adolf Hitler misalnya, memiliki modus operandi yang sama seperti penceramah-penceramah agama yang meminta bayaran: iaitu beritahu bukan apa yang benar, tetapi apa yang orang ramai mahu dengar.

Hitler pandai berceramah. Beliau juga bertanggungjawab mengakibatkan peperangan yang mengorbankan jutaan nyawa.

Hitler pandai berceramah. Beliau juga bertanggungjawab menjana peperangan yang mengorbankan jutaan nyawa.

Kaedah-kaedah yang digunakan oleh Adolf Hitler boleh dilihat dengan jelas melalui penulisan Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Nazi (Parti Sosialis Nasional):

a. Hitler menonjolkan dirinya sebagai jaguh kelas bawahan (proletariat) dan mengapi-apikan perasaan marah mereka terhadap kelas atasan (bourgeois)

Stupid and empty-headed bourgeois people for a time were pleased to disparage him as a “drummer.” They made themselves ridiculous, but did not realize it.4

b. Hitler pandai mengubah kata-katanya untuk disesuaikan kepada golongan-golongan yang berbeza

He speaks as confidently before workers as before scientists. His words strike deep into the hearts of farmers and city-dwellers. When he speaks to children, they are deeply moved.4

c. Hitler mencipta kredibiliti untuk dirinya dengan memburuk-burukkan sistem kehakiman

Judges and states attorney had learned to respect his rhetorical offensives. They asked the accused or the witness Hitler naive sounding questions or tried to lead him onto thin ice with innocent sounding questions . The 1924 trial on the uprising of 8-9 November 1923 turned into a triumphant success for the accused, since the Führer overcame the mountains of files, hostility, and misunderstanding through the shining strength of his obvious truthfulness and the power of his gripping eloquence. The Republic probably regretted that Leipzig Reichswehr trial in 1930, in which it tried to destroy the Führer and his movement.4


1. Mohd. Asri Zainul Abidin, “Banyak Ceramah Agama Belum Capai Piawaian Ilmu,” 15 April, 2007, http://drmaza.blogspot.com/2007/04/banyak-ceramah-agama-belum-capai.html

2. Mohd. Asri Zainul Abidin, “Bahaya Para Ustaz Dan Penceramah,” 11 Ogos, 2005, http://ustaz.blogspot.com/2005/08/bahaya-para-ustaz-dan-penceramah.html

3. “Program Akademik> Sarjanamuda Pengajian Islam: Syarat Penerimaan Masuk,” http://pkukmweb.ukm.my/~fpi/akademik-smpi-full-2.htm

4. Joseph Goebbels, “The Führer as a Speaker,” 1936, http://www.calvin.edu/academic/cas/gpa/ahspeak.htm

4 thoughts on “Layakkah Penglipur Lara Memerintah Negara?

  1. Salam

    sye rasa anda sdh slh pd hitler . . . ad bbrapa persoalan yg prlu kte kaji sblm mbuat kputusan . . .

    1. apkh sbbnya api kmarahan rakyat seiring dgnnya
    2. mgapakh ekonomi jerman jatuh mrudum slps WW 1 n spakh dlg dsbalik kejatuhan mreka
    3. apkh prisip bangsa jerman yg dknali sbg bgsa aryan ??

    hal2 ni kne perati bbtl n bknnya dsamakn dgn bangsa meLAYU kte . . . tiada pegangan n mudah tmkn janji manis btemakn bangsa . . . apkh prinsip bangsa kita ??? dan apkh anda yakin parti2 politik dm’sia ni bbtl nk pejuangkn ap yg dperkatakn ????
    kaji artikel yg anda COPY sblm PASTE kdlm blog . . .

    • Waalaikumussalam warahmatullah,

      Petikan kata-kata Hitler diambil daripada artikel yang ditulis sendiri oleh Joseph Goebbels, Menteri Propaganda Nazi. Hitler sendiri mewasiatkan jawatan Reichskanzler (Chancellor of Germany) kepada Goebbels, sekiranya beliau mati.

      Goebbels membunuh diri dan keluarganya sehari selepas Hitler mati.

      Adakah Goebbels ‘salah pada Hitler’?

  2. Pandangan saya – Lambakan maklumat yang ingenuine di hujung jari juga punca semakin bertambah pengilipur lara ini, bak cendawan tumbuh selepas hujan. Kredibiliti dan jatidiri individu yang tinggal untuk memupuk minat dan kesungguhan mendapatkan pengesahan, daripada terus bergantung kepada sumber israilliyat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s