Ketua Agama Patut Ketuai Keharmonian Antara Agama

Pada 30 Mei 2007, beratus-ratus wakil parti dan NGO termasuklah PAS, ABIM dan JIM menanti keputusan kes murtad Lina Joy di Istana Kehakiman Putrajaya dengan penuh harapan, sambil berzikir dan bermunajat. Sejurus penghakiman yang memihak kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) diputuskan oleh Ketua Hakim Negara ketika itu: Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, maka bergemalah laungan takbir di luar Mahkamah Persekutuan.1

30 Mei 2007 - PAS bertakbir sejurus penghakiman Tun Ahmad Fairuz

Namun, hanya tiga bulan selepas penghakiman tersebut, media alternatif Malaysiakini muncul dengan dakwaan bahawa peguam kanan V.K. Lingam pernah bersekongkol dengan Tun Ahmad Fairuz, bagi mengatur agar beliau dilantik sebagai Ketua Hakim Negara.2 Dakwaan ini dibuat berdasarkan video yang hanya ditimbulkan kembali lima tahun selepas ianya dirakamkan pada 2002. Cukup seminggu selepas dakwaan itu disiarkan, jika dahulu beratus-ratus wakil NGO Islam berhimpun, kini The Malaysian Bar Council pula menyeru 2,000 orang peguam berarak di Putrajaya bagi mendesak Perdana Menteri menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat dakwaan Malaysiakini.3

26 September 2007 - PKR di saf hadapan perarakan mendesak Tun Ahmad Fairuz disiasat.

Tun Ahmad Fairuz kemudiannya bersara ‘wajib’ selepas tempoh perkhidmatannya tidak dilanjutkan, lima bulan selepas beliau menyampaikan penghakiman yang menyebelahi MAIWP dalam kes Lina Joy. Di mana PAS ketika ini? Di mana ABIM, JIM dan NGO-NGO Islam yang lain?

Yang pastinya, tiga hari selepas perarakan tersebut, Penasihat PKR Anwar Ibrahim dengan lantang menyatakan di dalam sebuah forum bahawa beliau “suka sangat tengok” Tun Ahmad Fairuz mempertahankan diri jika dibicarakan.4 Adalah amat menarik bila difikirkan betapa hampir kesemua pengikut parti pembangkang berhempas pulas enggan mempercayai bahawa individu mirip Anwar di dalam skandal video seks ‘Datuk T’ ialah Anwar sendiri. Namun, hampir kesemua mereka juga berhempas pulas mengatakan bahawa Tun Ahmad Fairuzlah individu yang bercakap dengan Lingam melalui telefon, walaupun tiada langsung suara atau apa-apa kelibat individu menyerupai beliau di dalam video. Itulah tahap konsistensi dan istiqamah pembangkang.

Beberapa hari sebelum Tun Ahmad Fairuz bersara, Anwar Ibrahim telah menjemput Archbishop of Kuala Lumpur, Murphy Pakiam, sebagai tetamu khas untuk menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri di kediaman beliau. Hubungan antara kedua-dua pemimpin berlainan agama ini harus dikagumi. Apabila tiba hari Krismas tahun yang sama, Anwar Ibrahim dan isterinya Wan Azizah pula dijemput menghadiri Rumah Terbuka Krismas anjuran CFM (Christian Federation of Malaysia) bersama-sama Archbishop Murphy Pakiam.

21 Oktober 2007 - Anwar menjemput Archbishop Murphy Pakiam berhari raya di kediaman beliau. Murphy kemudiannya akan menjemput Anwar ke Rumah Terbuka Krismas CFM. CFM seterusnya akan menjemput Anwar ke forum PRU ke-12, di mana Anwar membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' oleh Gereja.

CFM tampak berminat dengan apa yang ditawarkan oleh Anwar Ibrahim. Pada 30 Januari 2008, CFM telah menjemput Anwar ke satu dialog tertutup bersempena PRU ke-12 di Petaling Jaya. Di dalam dialog tersebut, Anwar telah ditemuduga oleh 200 paderi dan aktivis Kristian. Di sinilah Anwar membenarkan penggunaan kalimah ‘Allah’ kepada Gereja.5 Adakah kalimah ‘Allah’ dijadikan ‘matawang’ oleh Anwar untuk menagih sokongan Gereja?

Betul atau tidak betul, parti-parti pembangkang telah meraih salah satu kejayaan terbesar dalam sejarahnya pada PRU ke-12, apabila menidakkan majoriti dua pertiga BN.

Apa sahaja kemusykilan tentang hala tuju sokongan Gereja pada PRU ke-12 sudah terjawab apabila Rev. Wong Kim Kong, Setiausaha Agung NECF (National Evangelical Christian Fellowship – Kumpulan Mubaligh Kristian Kebangsaan) Malaysia mengeluarkan kenyataan akhbar pada 13 Mac 2008 yang menggesa para penganut Kristian agar berdoa untuk parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS.6 Maka lengkaplah polarisasi parti politik mengikut agama di negara ini: PAS untuk Islam, HINDRAF untuk Hindu, dan PKR yang disokong CFM dan NECF untuk Kristian.

13 Mac 2008 - NECF menggesa para penganut Kristian agar berdoa untuk parti-parti Pakatan Rakyat iaitu PKR, DAP dan PAS.

Wakil-wakil rakyat pembangkang, terutamanya dari negeri-negeri dengan bilangan penduduk bukan Melayu yang ramai, seolah-olah teruja apabila memperoleh limpahan ‘rezeki’ yang tidak disangka-sangka ini. Lapan hari selepas kemenangan beliau di dalam pilihanraya, Dr. Dzulkefly Ahmad, Pengarah Pusat Penyelidikan & Pembangunan PAS serta ahli Parlimen PAS Kuala Selangor, menjadi ahli Parlimen Malaysia beragama Islam pertama menziarahi Gereja St. Paul The Hermit di Ijok.7 Trend ini dilanjutkan sebelas hari kemudian apabila ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Abdul Samad pula menziarahi Roman Catholic Church of the Divine Mercy di Shah Alam dan memberikan kebenaran kepada Gereja untuk menggunakan kalimah ‘Allah’.8 Jika kedua-dua ahli Parlimen PAS ini sekadar ingin membuktikan betapa mereka mengambil berat tentang kebajikan penganut Kristian, adalah pelik kerana mereka hanya menziarahi Gereja selepas menang.

PAS, Parti Islam Se-Malaysia, akhirnya telah berjaya ditundukkan oleh Gereja.

Genap sebulan setengah selepas tsunami politik Mac 2008, Archbishop Murphy Pakiam muncul untuk memohon semakan kehakiman kepada Mahkamah Tinggi bagi mencabar keputusan Kerajaan Malaysia yang melarang penggunaan kalimah ‘Allah’ oleh Herald – The Catholic Weekly. Pemimpin agama berpengalaman luas seperti beliau sudah pasti lebih arif daripada orang lain tentang sentimen umat Islam terhadap isu ini. Namun mengapa beliau masih meneruskan permohonan tersebut?

Mengapa ‘orang agama’ seperti beliau, ‘man of God‘, cenderung memilih jalan konfrontasi dan bukan kompromi? Apakah kalimah ‘Allah’ satu-satunya jalan untuk penganut Kristian berbahasa Melayu menuju kepada Tuhan?

Memang pemilihan masa (timing) untuk permohonan itu tepat bagi Archbishop Murphy Pakiam kerana laungan takbir PAS sudah berjaya dibisukan, akan tetapi beliau juga seharusnya sedar bahawa pemilihan masa itu juga mendedahkan kepada ramai pihak seolah-olah beliau cuba menangguk di kala kekeruhan perpecahan Melayu. Para pemimpin agama seperti beliau sepatutnya menjadikan diri sebagai contoh untuk memupuk hubungan baik antara kaum dan agama, sepertimana yang diusahakan oleh Perdana Menteri. Saya mencadangkan agar Archbishop Murphy Pakiam mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri untuk mendalami bagaimana seorang pemimpin, terutamanya pemimpin agama seperti beliau, seharusnya bekerja keras menjadi peneraju keharmonian, dan bukan jaguh cabar-mencabar.

Archbishop Murphy Pakiam patut menemui PM. Bukankah Kristian cintakan keamanan?

1. “Mahkamah tolak permohonan Lina Joy, pelbagai pihak lega,” HarakahDaily, http://www.harakahdaily.net/v2//index.php?option=com_content&task=view&id=7909&Itemid=28

2. “Transcript of Lingam’s conversation with Ahmad Fairuz,” Malaysiakini, 19 September, 2007, http://www.malaysiakini.com/news/72608

3. “Walk for Justice: “When lawyers walk, something must be very wrong”,” The Malaysian Bar, 26 September, 2007, http://www.malaysianbar.org.my/bar_news/berita_badan_peguam/walk_for_justice_when_lawyers_walk_something_must_be_very_wrong_.html

4. “CJ’s name mentioned in Lingam tape Pt 2,” Malaysiakini, 29 September, 2007, http://www.malaysiakini.com/news/73030

5. “Anwar explains his stance to Christian leaders,” Malaysiakini, 2 Februari, 2008, http://www.malaysiakini.com/news/77726

6. “Urgent Call for Continued Prayer (Malaysian General Election 2008),” 13 Mac, 2008, http://www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=948

7. “Dzulkefly may be the first Muslim MP at a Catholic Mass,” The Malaysian Insider, http://www.themalaysianinsider.com.my/index.php/malaysia/5660?task=view

8. “The day Catholics welcomed a man from PAS in Shah Alam,” The Malaysian Insider, http://www.themalaysianinsider.com/index.php/malaysia/5661-the-day-catholics-welcomed-a-man-from-pas-in-shah-alam

3 thoughts on “Ketua Agama Patut Ketuai Keharmonian Antara Agama

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s