Malaysia boleh dilihat sebagai ‘adik’ kesayangan ramai pihak, tidak kira dari kalangan negara-negara Barat, Timur Tengah, mahupun Timur Jauh. Sedar atau tidak, walau Malaysia bukan lagi di bawah jajahannya, British telah mengorbankan lebih 500 orang anak bangsanya (kira-kira 538 orang) untuk mempertahankan Malaysia daripada komunis semasa era Darurat dan Konfrontasi. Hubungan silaturrahim Malaysia dengan negara-negara Islam yang kaya dengan minyak pula menyebabkan mereka tidak lokek untuk menyumbangkan dana dan memberikan pinjaman lunak (soft loan) bagi pembangunan infrastruktur negara.
Namun kuasa dunia terbesar yang paling akrab dengan Malaysia sudah pastilah Jepun: ekonomi ketiga terbesar di dunia (di belakang AS dan keseluruhan Kesatuan Eropah). Kata nama Inggeris untuk Jepun, ‘Japan‘, malah dikatakan diperkenalkan ke Eropah oleh pedagang Portugis dari Melaka. Selepas Perang Dunia Kedua, Jepun yang miskin berusaha membaiki hubungan dengan menyerahkan kapal minelayer Wakataka kepada Royal Malayan Navy sebagai habuan perang. Tiada negara yang pernah diranapkan oleh sebiji, apatah lagi dua biji bom atom, namun siapa sangka Jepun yang tidak ubah ibarat padang jarak padang tekukur itu mampu bangkit menjadi antara kuasa dunia terbesar?

Kapal minelayer Wakataka yang dihadiahkan oleh Jepun kepada Royal Malayan Navy
Ketika Jepun berada di kemuncaklah, Malaysia di bawah pimpinan mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, telah membentuk suatu kerjasama unik dengan negara tersebut. Tun Dr. Mahathir telah mengumumkan Dasar Pandang ke Timur untuk membangunkan masyarakat Malaysia melalui nilai-nilai dan etika kerja positif yang boleh dipelajari dari Jepun. Kini, dasar yang terbukti telah memacu negara ke arah kemajuan itu telah ditiru oleh negara seperti India.
Sejak pengumuman dasar tersebut, walaupun Jepun berada di ‘kelas’ tinggi bersama-sama AS dan kuasa Eropah lain, ia tidak menolak Malaysia. Berduyun-duyun syarikat Jepun melabur ke Malaysia dengan membuka kilang perindustrian di bandar-bandar seperti Shah Alam dan Bandar Baru Bangi. Satu generasi rakyat Malaysia berjaya ditransformasi apabila mula menyara hidup keluarga dan anak-anak dengan bekerja sebagai operator pengeluaran, pegawai, eksekutif malah pengurus di syarikat-syarikat multinasional; tatkala rakyat negara jiran masih lagi menjadi petani, peladang dan nelayan. Kerajaan Jepun dengan besar hati menawarkan tempat dan biasiswa untuk pelajar-pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di universiti-universiti mereka.

Mantan PM, Tun Dr. Mahathir Mohamad, merasmikan kilang Hitachi di Bangi. Dasar Pandang ke Timur cetusan beliau telah memacu satu generasi rakyat Malaysia ke era perindustrian, ketika rakyat negara jiran masih menjadi petani dan nelayan.
Sehingga ke hari ini, walau era perindustrian sudah beralih ke China, Malaysia masih mendapat tempat di hati Jepun. Manakan tidak, boleh dikatakan satu generasi para pengurus syarikat-syarikat gergasi Jepun telah memulakan karier mereka sebagai eksekutif muda di Malaysia. Malah, ada pemain bolasepak di liga Jepun yang dilahirkan di Pulau Pinang, iaitu Tadashi Takeda dari kelab Fagiano Okayama. Ketika seluruh dunia tergila-gilakan kereta berprestasi tinggi keluaran Jepun, Honda Motor Co. hanya memasarkan secara rasmi kereta hebat terkininya, Honda Civic Type R FD2 di dua negara sahaja: Jepun sendiri, dan seterusnya ialah Malaysia: bukan negara berpasaran luas seperti AS. Penyanyi muda kelahiran Selayang, Aizdean pula berjaya menempa nama sehingga menduduki senarai sepuluh teratas carta Rekochoku.

Honda Civic Type R FD2. Hanya dipasarkan di dua negara sahaja: Jepun sendiri, dan Malaysia.
Kini, tatkala Jepun dilanda kejatuhan ekonomi, kemelut politik, bencana nuklear, tsunami dan gempa bumi terburuk dalam rekod, walau segagah manapun sesebuah negara ia pasti memerlukan bantuan. Antara bantuan terbaik yang boleh diberikan ialah untuk membangkitkan ekonomi Jepun. Bank of Japan sendiri telah bertindak menyuntik lebih 20 trillion yen untuk menstabilkan sistem kewangan Jepun. Bagi kita rakyat Malaysia, selain menyumbangkan wang, kita juga boleh membantu dengan membeli barangan buatan Jepun. Secara sedar atau tidak kita memang sudah melakukan perkara ini, jadi apa salahnya sebuah kempen rasmi dicetus tanda terima kasih kepada rakan baik yang pernah membantu kita. Jepun kini memerlukan bantuan ikhlas oleh rakan dan bukan ‘sekutu’ yang cuma mahu mendabik dada dan mengambil kesempatan. Ia tiada ‘keluarga’ besar seperti Komanwel, negara-negara jiran yang akrab mahupun kerajaan yang bersaudara daripada segi agama. Namun Jepun ada ‘adik angkatnya’ nun di Tenggara, iaitu Malaysia. Apa yang kita lakukan?