Bagaimana ISA Selesaikan Kontroversi Kristian Hina Buddhisme-Taoisme?

Ketika kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan dicabar dengan tindakan undang-undang oleh Ketua Biskop Tan Sri Murphy Pakiam untuk menggunakan kalimah Allah, negara jiran Singapura pula dikejutkan oleh kontroversi penghinaan kepercayaan Buddhisme dan Taoisme oleh gereja Kristian yang menghiasi muka-muka hadapan akhbar di republik itu pada minggu lepas, hanya beberapa hari sebelum ketibaan Tahun Baru Cina.

Kontroversi itu bermula apabila Paderi Senior Rony Tan daripada gereja Lighthouse Evangelism menyampaikan ceramah yang mengandungi komen seperti “it’s a cheap David Copperfield’s trick” (“ia adalah muslihat David Copperfield murahan”) dan komen-komen lain yang walau kurang sensitif terhadap kepercayaan Buddhisme dan Taoisme, namun masih mampu mengundang gelak ketawa para hadirin gereja tersebut. Tidak cukup dengan itu, klip-klip video tersebut kemudiannya dimuatnaik ke laman Internet gereja dan tersebar ke laman YouTube, seterusnya mencetus kemarahan daripada masyarakat penganut Buddhisme dan Taoisme.

Bagi mengekang kemarahan orang ramai ini daripada menjadi lebih parah, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (Internal Security Department – ISD) telah ‘memanggil’ Tan untuk disoal siasat pada Isnin, 8 Februari.1 Tan dilaporkan telah disoal siasat selama beberapa jam, dan beliau kemudiannya terus menyiarkan kenyataan maaf di laman Internet gereja pada malam itu juga. Menurut Pengerusi Singapore Taoist Federation, Tan Thiam Lye, ketika Rony Tan berjumpa dengan beliau untuk memohon maaf “beliau kelihatan kesal – secara jujur beliau kelihatan teruk.”2 Timbalan Perdana Menteri Singapura, Wong Kan Seng berkata bahawa “ia adalah sesuatu yang serius apabila seseorang ditahan dan disiasat oleh ISD.” Akhbar utama Singapura, The Straits Times melaporkan pada 10 Februari bahawa Rony Tan kemudiannya mengasingkan diri (stayed out of sight).2

Tindakan keras ini bukanlah sesuatu yang asing bagi ISD Singapura. Pada tahun 1987 melalui Operation Spectrum, ISD telah menggunakan ISA untuk menahan 22 aktivis sosial dan gereja Roman Katolik kerana didakwa terbabit dalam konspirasi Marxist untuk merampas kuasa. Malah, bekas Peguam Cara Negara Singapura, Francis Seow yang melawat salah seorang tahanan tersebut juga kemudiannya ditangkap, dan kini menjalani kehidupan dalam buangan di Amerika Syarikat. Kali terakhir pada 31 Januari tahun ini, 3 remaja berbangsa Cina ditahan di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan komen menghina kaum India di laman sosial Facebook. Ini hanyalah beberapa contoh tindakan ISD selain episod hitam yang mencemari rekod organisasi tersebut apabila suspek pemimpin Jemaah Islamiah, Mas Selamat Kastari, berjaya melarikan diri daripada tahanan ISD sebelum diberkas Pasukan Gerakan Khas (PGK) PDRM di Skudai.

Walaupun dianggap keras, tindakan ISD ini kelihatan berjaya memadamkan api isu keagamaan yang amat sensitif sebelum ia meledak. Malah, ia turut dihargai Singapore Buddhist Federation yang mengeluarkan kenyataan “mengalu-alukan tindakan pantas dan nasihat daripada pihak berkuasa untuk menghentikan kerosakan yang mungkin berlaku ke atas masyarakat penganut Buddhisme dan Taoisme disebabkan kenyataan tidak patut dan tidak sensitif oleh Rev Pastor Rony Tan.”

Merujuk kepada situasi di Singapura, adalah wajar bagi pihak dalam negara yang menentang ISA seperti GMI (Gerakan Mansuhkan ISA) untuk menilai sendiri keberkesanan ISA dalam menangani situasi-situasi unik yang menuntut campurtangan kerajaan yang tegas dan pantas. Jika Kerajaan Malaysia disifatkan ‘zalim’ apabila melaksanakan ISA, maka mungkinkah GMI belum (atau enggan) maklum tentang apa yang dilakukan oleh kerajaan asing, seperti Singapura?

Campurtangan yang tegas adalah perlu lebih-lebih lagi sejak PRU ke-12, apabila pertandingan politik yang kononnya telah mengatasi kekangan bangsa telah sebenarnya dibiar menurut trend lebih berbahaya apabila disegregasi mengikut agama; seperti HINDRAF untuk Hindu dan sokongan Christian Federation of Malaysia (CFM), The Council of Churches of Malaysia (CCM)3 4 serta National Evangelical Christian Fellowship (NECF)5 terhadap pakatan pembangkang; selain PAS sendiri yang mengguna label Islam. Sejarah telah membuktikan betapa segregasi mengikut agama lebih berpotensi mencetus kacau bilau di sebuah negara majmuk. Antara contoh terbaik ialah negara majoriti Islam Bosnia dan Herzegovina.

Christian Federation of Malaysia (CFM) telahpun mengguna kalimah Allah pada flyer sebelum PRU ke-12. Elizabeth Kendal, penyelidik World Evangelical Alliance, menggelar 'Islamisasi' di Malaysia sebagai 'talibanisation'.

Adalah wajar untuk kita menilai pengalaman Setiausaha Agung Singapore Buddhist Federation, Kwang Phing yang menegaskan bahawa “kami berusaha bertungkus-lumus untuk mengekalkan keharmonian agama di Singapura; (namun) ia hanya memerlukan seorang dua untuk menghancurkan proses tersebut.”1

1. “Pastor called up by ISD,” The Straits Times, 9 Februari, 2010, http://www.straitstimes.com/BreakingNews/Singapore/Story/STIStory_488212.html

2. “Pastor’s apology accepted,” The Straits Times, 10 Februari, 2010, http://www.straitstimes.com/BreakingNews/Singapore/Story/STIStory_488719.html

3. “Malaysia: Malaysians to vote against creeping Islamisation,” WEA – World Evangelical Alliance, http://www.worldevangelicals.org/news/article.htm?id=1703

4. “Activating the Christian vote,” Malaysiakini, 3 Mac, 2008, http://m.malaysiakini.com/news/79091

5. “Urgent Call for Continued Prayer (Malaysian General Election 2008),” NECF Malaysia, 13 Mac, 2008, http://www.necf.org.my/newsmaster.cfm?&menuid=43&action=view&retrieveid=948

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s