Saya agak kecewa selepas membaca artikel di sebuah akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris pada Isnin lepas. Artikel berkenaan yang ghairah ‘mendedahkan’ kelemahan beberapa tindakan kerajaan, dicetuskan oleh ayat yang ‘menjelaskan’ isu laporan kajian tentang pegangan ekuiti bumiputera:
“Di sini merupakan seorang saintis yang melihat data mentah dan membuat beberapa kesimpulan. Kesimpulan beliau mungkin betul atau tidak betul, namun ia tidak melibatkan sebarang niat jahat.”
Tampak mudah. Inilah yang digambarkan oleh penulis mengenai proses kajian tersebut, seolah-olah tiada sebarang kesan besar sekalipun kesimpulan kajian itu salah. Walhal pada hakikatnya, proses memperoleh maklumat peratus pegangan ekuiti bumiputera jauh lebih sukar.
Pertama, bagaimana pemilikan sesuatu perniagaan boleh didefinasikan sebagai mempunyai 51 peratus atau lebih saham atau ekuiti dalam perniagaan tersebut.
Jika 51% pemegang saham sesebuah syarikat adalah bumiputera, maka syarikat tersebut adalah milik bumiputera. Namun apa terjadi kepada baki 49% pemegang saham bukan bumiputera? Adakah angka 49% itu kini akan diabaikan atau perlukah ia ditambahkan kepada peratusan pemegang saham bukan bumiputera daripada syarikat lain? Saya yakin mana-mana kajian atau bancian akan mengabaikan angka 49% ini, sekali gus mengakibatkan gambaran yang tidak adil.
Sesetengah syarikat milik kerajaan atau GLC mempunyai ‘saham emas’, yang merupakan satu unit saham tetapi mewakili 51% jumlah keseluruhan. Walau bagaimanapun, saya fikir GLC perlu diasingkan daripada kajian ini kerana ia milik semua rakyat, tanpa mengira kaum.
Usah lupa bahawa harga saham juga adalah berbeza-beza, daripada beberapa sen hinggalah kepada belasan ringgit.
Bukan sahaja itu, malah sesuatu perniagaan boleh dimiliki oleh lebih daripada satu kaum. Ini boleh disebabkan oleh:
- Pemilik tunggal ialah lebih daripada satu kaum;
- Pemilik majoriti adalah lebih daripada satu kaum;
- Kombinasi majoriti pemilik adalah lebih daripada satu kaum.
Sekiranya 6 daripada sejumlah 10 syarikat adalah milik bumiputera, adakah bermakna pegangan ekuiti bumiputera merupakan 60%? Sudah tentu tidak, jika baki 4 syarikat lain adalah syarikat-syarikat yang jauh lebih besar saiznya.
Bagaimana pula dengan syarikat yang boleh dibeli dengan harga serendah RM2, tetapi pembelinya bakal menanggung hutang sedia ada sebanyak RM600 juta? Dengan hanya RM2, pembeli akan memiliki 100% syarikat. Namun saya tidak fikir pemilikan sebegini boleh diterjemah sebagai kekuatan ekonomi.
Dari manakah pula data untuk kajian diperoleh? Terdapat beberapa organisasi yang boleh menyumbang data kajian, seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Malaysia. Namun begitu, adakah data daripada pelbagai organisasi yang berbeza ini dihubungkan? Jika tidak, maka sudah pasti terdapat data yang tertindih. Malah, jika kakitangan organisasi berkenaan pun menghadapi masalah untuk mendapatkan data terkini, apatah lagi pihak luar?
Salah satu situasi unik di negara ini pula ialah ‘ali baba’. Umum sedia maklum bahawa terdapat syarikat bukan bumiputera yang ‘membeli’ nama bumiputera dengan penawaran elaun, saham dan jawatan bagi menikmati faedah serta status sebagai syarikat bumiputera. Antara faedah yang boleh dikaut ialah kontrak-kontrak kerajaan.
Setelah berhadapan dengan masalah kira-kira seperti yang disebutkan, tidak hairanlah jika sesetengah pihak lebih selesa untuk menggunakan sampel. Ambil seribu daripada beratus ribu syarikat sebagai sampel, dan lakukan kajian.
Namun adakah sampel ini mencerminkan populasi secara tepat? Ini amat penting kerana implikasinya boleh menjadi dahsyat. Laporan yang membawa ‘cop’ sebuah institut kajian polisi boleh dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab. Malah, artikel yang saya baca sudahpun mengungkit-ungkit latarbelakang hebat pengarah kajian berkenaan.
Apabila mengambil kira hakikat kesukaran membuat kajian dan implikasinya yang besar, saya tidak terperanjat dengan komen Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan laporan ini ‘sampah’.
Saya turut membantah tindakan seseorang yang mempertaruhkan kerjaya untuk mempertahankan satu kesimpulan statistik. Ini kerana logik statistik hanyalah sebahagian daripada interpretasi data. Kita hendaklah menggunakan pertimbangan saintifik dan umum (common sense) untuk membuat kesimpulan di luar had statistik.
Saya percaya tiada kaedah statistik yang boleh memberikan gambaran tepat mengenai peratus pegangan ekuiti sesuatu kaum. Angka mungkin menunjukkan 45%, tetapi dengan pemerhatian mudah dan tanpa sebarang metodologi kompleks, kanak-kanak pun boleh menyatakan berapa ‘kerat’ lot milik bumiputera dari mana-mana blok kedai berdekatan.
maksud kehilangan rm52 billion tu ialah pegangan bumi dlm public listed co. di bursa, mereka jual bila harga tinggi, tak jualmaka jadi lah pelabur bodoh.pelabur beli bila harga rendah, biasalah.
soalnya cara pemberian saham tu , secara freehold, urusniaga bebas , tiada mekanisma yang mengurus pertukaran tangan saham2 bumi. sampai bila pun fenomena tu akan berulang2……
Pingback: 52 Billion Kebodohan Melayu Tapi Salahkan Orang
tgk time raya cina sudah la.. pastu compare dengan time raya aidilfitri.. pastu pikir dalam2..