Diterbitkan pada: 25 April 2013
Kemaskini: 21 Mac 2015
1. Apakah ‘Hudud’ Yang Dimaksudkan PAS?
‘Hudud’ yang ingin dilaksanakan oleh PAS ialah enakmen undang-undang jenayah yang dilabel oleh parti tersebut sebagai berdasarkan syariah Islam.
Kerajaan negeri Kelantan, dan Terengganu yang pernah dikuasai oleh PAS, telah meluluskan enakmen-enakmen jenayah berikut:
a. Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985 (Kelantan)
b. Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu 1423H/2002M
Pada 19 Mac 2015, Dewan Undangan Negeri Kelantan telah sebulat suara meluluskan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Pindaan) 2015 yang mengandungi 10 pindaan.1
2. Adakah ‘Hudud PAS’ Menepati Syariah?
Tidak secara keseluruhannya.
Ahli Dewan Rakyat Kulim-Bandar Baharu, Dato’ Zulkifli Noordin, telah memberitahu Dewan Rakyat pada 20 Oktober 2011 bahawa perkara-perkara berikut adalah bercanggah dengan syariah2:
a. Hakim Bukan Islam
Tiada halangan bagi hakim bukan Islam untuk membicarakan kes di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu. Menurut Seksyen 66 enakmen tersebut:
Seksyen 66. Mahkamah Bicara Syariah Khas.
(1) Semua pendakwaan di bawah Enakmen ini hendaklah dibicarakan oleh Mahkamah Bicara Syariah Khas dan didengar oleh panel tiga orang Hakim yang dilantik oleh Ketua Hakim Syarie, dua daripada mereka hendaklah dari kalangan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah dan seorang lagi itu sama ada daripada Hakim bersara atau dalam perkhidmatan sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya atau seorang yang berkelulusan dan berkelayakan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya.
b. Meliwat Isteri
Meliwat isteri tidak dianggap sebagai satu kesalahan ‘liwat’ menurut Seksyen 14, Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu:
Seksyen 14. Liwat.
Liwat ialah suatu kesalahan yang merupakan persetubuhan di antara seorang lelaki dengan seorang lelaki yang lain atau di antara seorang lelaki dengan seorang perempuan selain daripada isterinya yang dilakukan di luar tabii iaitu melalui dubur.
c. Mukallaf
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu telah menetapkan umur minimum mukallaf pada usia 18 tahun. Menurut Seksyen 2 enakmen tersebut:
Seksyen 2. Tafsiran.
“mukallaf” maknanya seseorang sudah mencapai umur 18 tahun dan sempurna akalnya;
Ahli-ahli Dewan Rakyat daripada parti-parti pembangkang telah menolak kenyataan Dato’ Zulkifli ini. Ketika sidang mesyuarat sedang berlangsung di Dewan Rakyat, Salahuddin Haji Ayub (PAS – Kubang Kerian) telah menggelar Dato’ Zulkifli sebagai ‘munafik’, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusof (PKR – Balik Pulau) telah menggelar beliau sebagai ‘bodoh’, manakala Dr. Dzulkefly Ahmad (PAS – Kuala Selangor) telah menggelar beliau sebagai ‘babi’.2
Selain perkara-perkara di dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu yang dinyatakan oleh Dato’ Zulkifli, kesalahan ‘hamil luar nikah’ di dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kelantan) juga dilihat memiliki percanggahan dengan syariah:
d. Mangsa Keganasan Seksual Boleh Dihukum Denda & Penjara
Mangsa keganasan seksual atau jenayah rogol, yang melahirkan anak di luar nikah, adalah bersalah dan boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM3,000 dan penjara sehingga 2 tahun. Menurut Seksyen 16, Enakmen Kanun Jenayah Syariah (Kelantan) 1985:
Seksyen 16. Hamil luar nikah.
(1) Seseorang perempuan yang didapati hamil atau melahirkan anak di luar nikah adalah bersalah atas suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, dikenakan hukuman denda tidak melebihi tiga ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya.
(2) Seseorang perempuan yang melahirkan anak yang penuh sifat dalam masa enam bulan selepas dia berkahwin boleh disifatkan sebagai melahirkan anak di luar nikah.
Beban membuktikan (burden of proof) bahawa seseorang individu itu sebenarnya telah hamil akibat menjadi mangsa keganasan seksual, dan bukannya kerana telah melakukan persetubuhan dengan cara syubhat, adalah terletak kepada individu itu sendiri:
(3) Beban membuktikan bahawa seorang perempuan itu telah disetubuhi dengan cara syubhat atau sebagainya atau berkahwin atau anak itu dilahirkan dalam jangka masa yang boleh diterima mengikut Hukum Syarak adalah terletak di atas perempuan itu.
Pada 19 Mac 2015, antara pindaan-pindaan yang telah diluluskan terhadap Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (Kelantan) termasuklah:
- ia hanya terpakai kepada orang Islam mukallaf sahaja berbanding sebelum ini yang memberi pilihan kepada orang bukan Islam untuk memilih pemakaian undang-undang itu ke atas mereka;1
- penambahan peruntukan hukuman takzir bagi kesalahan liwat ke atas isteri;1
- kelayakan hakim;1
- memperkemaskan hukuman yang membabitkan kesalahan liwat dan zina.3
3. Adakah ‘Hudud’ Dilaksanakan Di Negara-Negara Majoriti Islam?
Bukan di semua negara majoriti Islam.
Negara-negara yang melaksanakan ‘hudud’ di peringkat persekutuan/kebangsaan (bukannya di peringkat negeri/wilayah), iaitu Afghanistan, Arab Saudi, Iran, Maldives, Mauritania, Pakistan, Sudan dan Yemen, semuanya memiliki populasi penduduk Islam melebihi 97%, kecuali Qatar (77.5%)4.
Terdapat juga negara-negara yang tidak melaksanakan ‘hudud’ di kedua-dua peringkat (persekutuan/kebangsaan mahupun di peringkat negeri/wilayah), walaupun memiliki populasi penduduk Islam berjumlah 90% atau lebih. Negara-negara tersebut ialah Algeria, Jordan, Libya, Maghribi, Oman, Syria, Turki, Tunisia selain Mesir, yang pernah dikuasai parti Ikhwanul Muslimin dan telah meminda perlembagaannya pada 2012.
Malaysia memiliki 61.3% penduduk Islam.5
4. Apakah Undang-Undang Yang Perlu Dipinda Untuk Melaksanakan ‘Hudud’?
Undang-undang yang perlu dipinda untuk membenarkan perlaksanaan ‘hudud’ ialah:
a. Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai I, Perenggan 4
Undang-undang jenayah dan pentadbiran keadilan, termasuk perbuatan rasuah dan pewujudan kesalahan berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, adalah disenaraikan di bawah Senarai Persekutuan (Senarai I, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan).
Ini bermakna undang-undang berkaitan jenayah adalah di bawah kuasa Parlimen (Persekutuan).
b. Perlembagaan Persekutuan, Jadual Kesembilan, Senarai II, Perenggan 1
Perenggan 1 Senarai Negeri (Senarai II, Jadual Kesembilan, Perlembagaan Persekutuan) memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk mewujudkan dan menghukum kesalahan-kesalahan “yang dilakukan oleh orang yang menganut agama Islam terhadap perintah agama itu”.
Namun begitu, kesalahan-kesalahan tersebut tidak termasuk “perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan”.
Undang-undang jenayah adalah termasuk dalam Senarai Persekutuan. Ini bermakna kerajaan negeri tidak memiliki kuasa untuk mewujudkan apa-apa undang-undang jenayah.
c. Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, Seksyen 2
Dato’ Zulkifli Noordin berpendapat bahawa ‘hudud’ boleh digubal dengan hanya meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.6
Walau bagaimanapun, pendapat ini tidak tepat kerana apa-apa undang-undang yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan adalah dianggap tidak sah:
Perkara 4. Undang-undang utama Persekutuan.
(1) Perlembagaan ini ialah undang-undang utama Persekutuan dan apa-apa undang-undang yang diluluskan selepas Hari Merdeka yang tidak selaras dengan Perlembagaan ini adalah tidak sah setakat ketidakselarasan itu.
5. Adakah PAS Akan Melaksanakan ‘Hudud’ Di Malaysia Sekiranya Menang?
Tidak.
Ini kerana:
a. Tidak Cukup Ahli Parlimen Untuk Meminda Perlembagaan
Walaupun rang undang-undang bukan kerajaan (private member’s bill, bukan private bill – rang undang-undang persendirian) ‘hudud’ diluluskan oleh Dewan Rakyat, pindaan tetap diperlukan terhadap Perlembagaan Persekutuan sebelum undang-undang ‘hudud’ boleh dilaksanakan. Untuk meminda Perlembagaan, sokongan majoriti sekurang-kurangnya 2/3 daripada ahli kedua-dua dewan Parlimen adalah diperlukan sebelum ia boleh diluluskan. Ini bermakna 148 daripada 222 ahli Dewan Rakyat dan 47 daripada 70 ahli Dewan Negara perlu menyokong pindaan tersebut.
Selepas PRU-13, PAS hanya memiliki 21 ahli Dewan Rakyat (kurang 127 ahli daripada majoriti 2/3).
Sekiranya PAS dapat memujuk kesemua ahli Dewan Rakyat beragama Islam daripada parti sekutunya iaitu PKR dan DAP untuk menyokong pindaan, jumlah ahli Dewan Rakyat beragama Islam daripada ketiga-tiga parti (PAS, PKR dan DAP) masih lagi tidak mencukupi (39 ahli Dewan Rakyat – kurang 109 ahli daripada majoriti 2/3).
Ini sebelum mengambil kira jika ahli Dewan Rakyat seperti Zairil Khir Johari dan Ariff Sabri Aziz, akan menentang pindaan.
Sekiranya kesemua ahli Dewan Rakyat UMNO menyokong pindaan, jumlah ahli Dewan Rakyat beragama Islam daripada keempat-empat parti (PAS, PKR, DAP dan UMNO) masih lagi tidak mencukupi (127 ahli Dewan Rakyat – kurang 21 ahli).
Sekiranya kesemua ahli Dewan Rakyat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak yang beragama Islam menyokong pindaan, jumlah ahli Dewan Rakyat beragama Islam daripada kelima-lima parti (PAS, PKR, DAP, UMNO dan PBB) masih lagi tidak mencukupi (137 ahli Dewan Rakyat – kurang 11 ahli).
Sekiranya PAS menang kesemua kerusi Parlimen yang ditandinginya dalam PRU-13, jumlah ahli Dewan Rakyat masih tidak mencukupi (72 ahli Dewan Rakyat – kurang 76 ahli). DAP bertanding untuk 51 kerusi Parlimen.
b. Penentangan DAP
PAS bukan peneraju pakatan pembangkang sepertimana pandangan umum di kalangan masyarakat Melayu. PAS hanya merupakan parti pembangkang ketiga terbesar di Parlimen, walaupun memiliki ramai ahli yang bekerja untuk kempen parti-parti lain dalam pakatan pembangkang.
Parti pembangkang terbesar di Parlimen ialah DAP, dengan 37 ahli Dewan Rakyat.
c. PAS Tidak Meluluskan Enakmen ‘Hudud’ Ketika Berkuasa Di Kedah
Di Kedah, PAS memiliki bilangan ahli terbesar dan pakatan pembangkang memiliki majoriti ahli di DUN selepas PRU-12. Namun begitu, dalam tempoh 5 tahun pemerintahan PAS di negeri Kedah, ia tidak meluluskan apa-apa enakmen ‘hudud’ atau meminda Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1988 (Kedah) bagi memasukkan hukuman ‘hudud’.
1. “DUN Kelantan Lulus RUU Kanun Jenayah Syariah II 1993,” Bernama.com, 19 Mac, 2015, http://www.bernama.com/bernama/v8/bm/ge/newsgeneral.php?id=1118338
2. “Dewan Rakyat Parlimen Kedua belas Penggal Keempat Mesyuarat Ketiga,” Portal Rasmi Parlimen Malaysia, 20 Oktober, 2011, http://www.parlimen.gov.my/files/hindex/pdf/DR-20102011.pdf
3. “Rang Undang-undang Hudud Kembali Ke Sidang DUN Kelantan,” Bernama.com, 15 Mac, 2015, http://www.bernama.com/bernama/v7/bm/ge/newsperspectives.php?id=1116610
4. “People and Society:: QATAR,” CIA – The World Factbook, 16 April, 2013, https://www.cia.gov/library/publications/the-world-factbook/geos/qa.html
5. “Laporan Taburan Penduduk dan Ciri-ciri Asas Demografi,” Portal Rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia, http://www.statistics.gov.my/portal/index.php?option=com_content&view=article&id=1215%3Apopulation-distribution-and-basic-demographic-characteristic-report-population-and-housing-census-malaysia-2010-updated-2972011&catid=130%3Apopulation-distribution-and-basic-demographic-characteristic-report-population-and-housing-census-malaysia-2010&Itemid=154&lang=bm
6. “Hudud Siapa?,” zul4kulim.blogspot.com, 20 Oktober, 2011, http://zul4kulim.blogspot.com/2011/10/hudud-siapa.html