Adakah Pindaan Perlembagaan Perlu Untuk Laksana Hudud?

Kerajaan PAS Kelantan bakal mengemukakan rang undang-undang persendirian di Dewan Rakyat bagi membolehkan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 dilaksanakan di negeri tersebut. Seluruh umat Islam di Malaysia umumnya, dan di Kelantan khususnya, sudah tentu mengimpikan perlaksanaan suatu undang-undang jenayah yang dibuat berdasarkan syariah Islam.

Namun begitu, umat Islam juga perlu maklum mengenai beberapa perkara agar berupaya menilai sama ada sesuatu tindakan atas nama syariah itu benar-benar dibuat untuk menegakkan syariah.

Adakah tindakan mengemukakan rang undang-undang hudud boleh dibuat untuk menegakkan kepentingan yang tidak berkaitan syariah? Ya, ia boleh dikatakan begitu sekiranya pihak yang mengemukakannya sedia maklum bahawa tindakan tersebut memiliki kebarangkalian yang rendah untuk diluluskan, namun masih meneruskannya bagi mencapai matlamat lain yang tidak berkaitan syariah.

Bagaimana pula tindakan mengemukakan rang undang-undang hudud ini boleh dikatakan memiliki kebarangkalian yang rendah untuk diluluskan? Ia boleh dikatakan begitu apabila ia memerlukan pindaan dibuat kepada Perlembagaan Persekutuan. Ini kerana apabila Perlembagaan perlu dipinda, maka pindaan tersebut memerlukan sokongan daripada majoriti 2/3 ahli Dewan Rakyat, termasuk yang bukan Islam. Sekalipun kesemua ahli Dewan Rakyat PAS, PKR, UMNO dan PBB (Parti Pesaka Bumiputera Bersatu) menyokong pindaan, jumlah daripada keempat-empat parti ini masih lagi tidak mencukupi 2/3 ahli dewan. Ini merupakan satu realiti matematikal.

Situasi ini belum mengambil kira realiti seterusnya: iaitu ahli Dewan Rakyat PKR juga terdiri daripada individu bukan Islam seperti R. Sivarasa dan Tian Chua.

Timbalan Menteri Besar Kelantan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993, Datuk Mohd. Amar Abdullah berkata, perlaksanaan enakmen tersebut tidak memerlukan pindaan Perlembagaan. Ahli Parlimen PAS Mohamed Hanipa Maidin, di dalam sebuah artikel yang disiarkan akhbar Harakah pada 16 April 2014, juga menyatakan pendapat yang sama. Hanipa telah mengemukakan empat sebab: tafsiran istilah ‘Islam’ dalam Perkara 3 Perlembagaan yang dibuat sesuatu mahkamah tidak akan mengikat mahkamah lain, tafsiran istilah ‘Islam’ menerusi kes Che Omar bin Che Soh vs PP ialah salah, tafsiran istilah ‘Islam’ oleh mahkamah boleh mengakibatkan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dianggap tidak sah, dan tafsiran ‘hukum Syarak’ di dalam Perlembagaan, Jadual Kesembilan, Senarai II, Perenggan 1, perlu merangkumi hudud. Keempat-empat sebab yang dikemukakan oleh Hanipa ini adalah berkaitan dengan masalah tafsiran istilah.

Apa yang mengejutkan ialah Hanipa sama sekali tidak menyentuh sebab utama mengapa Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 bertentangan dengan Perlembagaan, yang ada dinyatakan dalam Perlembagaan di Jadual Kesembilan, Senarai I, Perenggan 4. Menurut peruntukan ini, undang-undang jenayah, termasuk pewujudan kesalahan (offence) berkenaan dengan mana-mana perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan, adalah disenaraikan di bawah Senarai Persekutuan. Ini bermakna undang-undang berkaitan jenayah adalah di bawah kuasa persekutuan, dan bukan negeri.

Umum sedia maklum bahawa menurut Perkara 75 Perlembagaan, undang-undang Persekutuan mengatasi undang-undang negeri, dan mana-mana undang-undang negeri yang tidak selaras dengan undang-undang persekutuan, adalah tidak sah.

Sebagai contoh, salah satu kesalahan (offence) di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 ialah kesalahan liwat. Dalam penghakiman kes Sukma Darmawan Sasmitaat Madja v Ketua Pengarah Penjara Malaysia & Anor [1999] di Mahkamah Persekutuan, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad telah menyatakan bahawa “kesalahan (offence) yang baru diwujudkan di dalam undang-undang negeri ialah tidak mematuhi Perlembagaan (unconstitutional), kerana ia adalah ‘undang-undang jenayah’ di bawah Senarai Persekutuan dan kesalahan (offence) tersebut telah wujud sejak sebelum merdeka.” Tun Abdul Hamid turut memetik Perkara 75 Perlembagaan mengenai ketidaksahihan undang-undang negeri yang bertentangan dengan undang-undang persekutuan.

Jawatankuasa Teknikal PAS yang berpengalaman sudah tentu sedia maklum tentang isu-isu yang bakal timbul selepas perlaksanaan enakmen hudud. Antaranya ialah isu konsepsi (takrif kesalahan yang berbeza antara enakmen hudud dengan Kanun Keseksaan), isu bidang kuasa (kesalahan bertindih antara enakmen hudud dengan Kanun Keseksaan, dan bidang kuasa negeri terhad – peguam syarie yang menjalankan praktik di sesebuah negeri tidak boleh melakukan sedemikian di negeri lain) selain isu pembuktian (perbezaan pembuktian antara enakmen hudud dan Kanun Keseksaan). Jawatankuasa Teknikal PAS yang benar-benar ingin menegakkan syariah sudah seharusnya bersedia dengan kaedah-kaedah penyelesaian bagi isu-isu ini, dan bukan sekadar ‘melontarkan’ rang undang-undang sambil mengharapkan isu-isu ini akan selesai.

Di dalam sebuah seminar di USM pada 2012, Tun Abdul Hamid pernah berkongsi pengalaman beliau ketika ingin mendapatkan khidmat nasihat untuk merangka undang-undang Islam: “saya telah menulis banyak surat dan melawat tiga universiti Islam untuk merayu sumbangan mereka, saya tidak menerima sebarang maklumbalas. Saya sama sekali tidak percaya bahawa tiada seorangpun di dalam penyelidikannya, tesis, atau syarahan yang tidak berjumpa peruntukan-peruntukan tersebut.”

Jawatankuasa Teknikal PAS boleh mempertimbang dua kaedah penyelesaian kepada isu konflik antara mahkamah syariah dan mahkamah sivil. Pertama ialah kembali kepada hanya satu set undang-undang. Kedua ialah para hakim daripada kedua-dua cabang mahkamah duduk bersama-sama bagi menghakimi sesuatu kes. Ini boleh dicapai dengan penyatuan (unification) mahkamah ataupun proses federalisasi (federalisation) mahkamah syariah. Walau apapun, kedua-dua penyelesaian ini memerlukan kepada pindaan terhadap Perlembagaan.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Datuk Mohd. Amar Abdullah pernah menyatakan ketika beliau ingin bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Pemilihan PAS bahawa “kita melihat dari sudut keberkesanan kita bila berada dalam Pakatan Rakyat, kenapa undi orang Melayu kepada PAS merosot walaupun kita memerlukan juga undi kaum lain untuk menang.” Kenyataan ini boleh menimbulkan kebimbangan bahawa tindakan mengemukakan rang undang-undang yang memiliki kebarangkalian yang rendah untuk diluluskan ini, hanyalah sekadar taktik untuk memenangi undi Melayu. Perlaksanaan undang-undang jenayah yang menepati syariah Islam seharusnya mengatasi kepentingan politik, dan apa-apa tindakan yang dibuat untuk mencapai matlamat lain adalah sangat mendukacitakan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out /  Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out /  Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out /  Tukar )

Connecting to %s